
Menerusi jawapan bertulis Dewan Negara, kementerian itu memaklumkan, usaha menoktahkan kemiskinan tegar menunjukkan kemajuan yang sangat memberangsangkan.
“Negeri-negeri lain merekodkan penurunan insiden miskin tegar secara signifikan,” menurut kementerian itu menjawab soalan Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berhubung usaha kerajaan Madani menoktahkan kemiskinan tegar.
Kementerian itu turut memaklumkan, jumlah keseluruhan miskin tegar di negara ini berkurangan kepada 2,191 ketua isi rumah setakat 30 Nov berbanding 91,789 yang dicatatkan pada 31 Dis 2023.
Kuala Lumpur di tangga teratas (474) diikuti Kedah (341); Sabah (289); Johor (275); Pahang (174); Pulau Pinang (122); Selangor (112); Terengganu (103); Kelantan (99); Sarawak (91); Perak (62); dan Labuan (49).
Menurut kementerian itu, usaha menoktahkan kemiskinan berdepan cabaran tersendiri, termasuk insidens kemiskinan bersifat dinamik kerana isi rumah miskin bertukar ganti sepanjang masa.
“Dalam mempergiat usaha membasmi kemiskinan, kerajaan telah dan sedang melaksanakan beberapa inisiatif jangka sederhana dan panjang selaras dengan Kerangka Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat,” katanya.