2 pekerja TM antara 8 ditahan curi kabel

2 pekerja TM antara 8 ditahan curi kabel

Ketua Polis Timur Laut Abdul Rozak Muhammad berkata semua suspek ditahan pada jam 6 pagi ketika mencuri kabel di Tanjung Bungah.

Ketua Polis Timur Laut, Abdul Rozak Muhammad menunjukkan kabel milik Telekom Malaysia yang dipotong dipercayai untuk dicuri. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Dua pekerja Telekom Malaysia Berhad (TM) antara lapan individu yang ditahan ketika sedang memotong kabel milik syarikat telekomunikasi itu disyaki untuk dicuri di Tanjung Bungah di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Timur Laut Abdul Rozak Muhammad berkata dalam kejadian kira-kira 6 pagi itu pihaknya turut merampas 242 batang kabel seberat tiga tan bernilai kira-kira RM100,000.

Beliau berkata sebelum itu bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Timur Laut ternampak sekumpulan individu sedang memotong kabel di tepi jalan Tanjung Bungah dan ketika pemeriksaan, suspek menunjukkan borang pesanan kerja yang dikeluarkan oleh pihak TM.

“Curiga dengan keaslian borang tersebut, anggota membuat pengesahan dengan wakil pihak TM namun mereka mengesahkan bahawa tiada kebenaran melakukan kerja-kerja pemotongan kabel dikeluarkan di kawasan tersebut.

“Tangkapan kemudian dibuat ke atas lapan lelaki tempatan yang dua daripada mereka adalah kakitangan TM manakala enam lagi merupakan pekerja subkontraktor penyelenggaraan bagi syarikat telekomunikasi terbabit,” katanya pada sidang media.

Beliau berkata selain kabel turut dirampas dua buah lori yang digunakan untuk mengangkut kabel berkenaan, sebuah pacuan empat roda dan sebuah van serta pelbagai peralatan untuk mencuri kabel.

Rozak berkata siasatan awal mendapati suspek bukan sahaja menyalahgunakan borang kebenaran kerja tetapi turut menggunakan aset kenderaan milik TM dipercayai bagi melindungi kegiatan jenayah mereka.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti sama ada terdapat penglibatan individu atau ahli sindiket lain dengan aktiviti tersebut termasuk lokasi kabel tersebut dibawa untuk dijual.

“Semakan juga mendapati empat daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan ketum manakala empat lagi tidak mempunyai rekod,” katanya.

Beliau berkata kesemua suspek yang berusia antara 31 hingga 42 tahun itu kini direman tiga hari hingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.