
Ahli MKT Umno, Puad Zarkashi mengakui menteri pelaburan, perdagangan dan industri itu berhak memilih parti yang ingin disertainya, tetapi PKR patut menolaknya demi menjaga hati “kawan”.
“Kalau betul Tengku Zafrul sertai PKR, yang patut kena marah ialah PKR. Parti itu ada kuasa untuk tolak, jika ia ada moral untuk jaga hati kawan, apa lagi setiakawan kerajaan perpaduan.”
“Ahli Umno setakat boleh marah, tetapi tidak boleh buat apa-apa,” katanya di Facebook.
Beliau berkata, pasti ada sebab luar biasa Tengku Zafrul “laku macam pisang goreng panas”.
“Sekarang parti politik macam syarikat korporat. Ada orang bertaraf CEO yang laku pergi ke mana-mana parti politik,” katanya.
Semalam, Tengku Zafrul mengakui pernah berbincang dengan PKR, tetapi belum membuat sebarang keputusan sama ada mahu menyertai parti itu.
Menurutnya, perbincangan awal itu tidak membabitkan jawatan di peringkat negeri mahupun PRK.
Ia selepas Presiden PKR, Anwar Ibrahim mengesahkan ada perbincangan awal penyertaan Tengku Zafrul ke parti pimpinannya, namun mahu proses itu dilakukan secara baik tanpa menjejaskan hubungan dengan Umno.
Jumaat lalu, FMT memetik sumber dalaman Umno Selangor berkata, rundingan sedang berjalan berhubung kemungkinan Tengku Zafrul meninggalkan parti itu untuk menyertai PKR.
Tetapi, Presiden Umno Zahid Hamidi mengesahkan tiada sebarang pemakluman daripada ketua Umno Kota Raja itu berhubung perkara terbabit.