
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) dalam kenyataan berkata, ini bagi memberi kelonggaran kepada industri menyesuaikan keperluan tenaga kerja dengan lebih fleksibel, tanpa menjejaskan objektif kerajaan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.
Dasar 80:20 merujuk syarat penggajian guna tenaga yang menetapkan nisbah 80% pekerja tempatan dan 20% pekerja asing dalam sektor tertentu, khasnya pembuatan.
MTLM pula insentif buat majikan untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dan meningkatkan pengambilan pekerja tempatan, selaras dasar kerajaan semasa.
Semasa pembentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengumumkan MTLM akan dilaksanakan awal tahun depan untuk menggalakkan automasi dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing secara berperingkat.
Bagi sektor pembuatan, MTLM bakal mengambil alih dasar 80:20 yang termaktub dalam syarat Lesen Pengilang.
Levi yang dikutip akan disalurkan semula kepada pihak industri untuk meningkatkan penggunaan teknologi serta automasi, meningkatkan produktiviti, mengurangkan kebergantungan pekerja asing yang sekali gus menyumbang kepada peningkatan daya saing Malaysia di peringkat global.
“Bagaimanapun, mengambil kira pelbagai faktor dan maklum balas sektor industri, penangguhan pematuhan dasar 80:20 akan terus dilanjutkan sehingga MTLM dilaksanakan sepenuhnya,” kata Miti.
Kerajaan secara berterusan menggalakkan sektor pembuatan beralih kepada automasi dan teknologi selaras aspirasi Malaysia Madani dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030).
Sementara itu, Miti berkata, ia akan terus fokus meningkatkan kemahiran pekerja tempatan antara langkah utama untuk memastikan tenaga kerja tempatan dapat bersaing dalam ekonomi global semakin berteknologi tinggi.
“Peningkatan kemahiran ini bertujuan menyediakan pekerja lebih berkemampuan dan dapat menyumbang kepada pendapatan bermaruah serta memacu pertumbuhan ekonomi mampan.
“Miti juga akan terus bekerjasama dengan pihak industri bagi memastikan sektor pembuatan terus berkembang dengan lebih mampan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.”