
Guok Ngek Seong mewakili Lim, berkata Hakim Roz Mawar Rozain memerintahkan bekas perdana menteri membayar RM400,000 pada 31 Dis dan baki RM1 juta lagi pada 27 Jan.
“Yang Arif juga memerintahkan Muhyiddin membayar Lim kos RM5,000,” katanya kepada pemberita selepas pendengaran di kamar.
Peguam Chetan Jethwani mewakili Muhyiddin, mengesahkan perkara tersebut.
Lim, bekas menteri kewangan menentang permohonan penangguhan pembayaran oleh Muhyiddin sementara menunggu pelupusan rayuan daripada penghakiman berkenaan di Mahkamah Rayuan.
Katanya, jumlah diperintahkan ke atas Muhyiddin walaupun besar, namun tidak memerlukan keadaan istimewa bagi penangguhan pelaksanaan. Katanya, Muhyiddin seorang yang kaya dan lebih daripada berkemampuan untuk melangsaikan pembayaran tersebut.
Lim bergantung kepada pengisytiharan aset Jemaah Menteri diterbitkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2020, menunjukkan Muhyiddin memiliki aset bernilai antara RM10 juta hingga RM15 juta, dan mempunyai pendapatan bulanan RM93,841.65.
Muhyiddin memfailkan permohonan penangguhan pada 9 Dis, mendakwa jumlah penghakiman adalah berlebihan. Katanya beliau memerlukan masa bagi mengumpul sejumlah amaun itu, namun bersedia mendepositkan 50% ke dalam akaun simpanan tetap, dipegang peguam cara Lim sebagai pemegang kepentingan.
Lim memfailkan notis kebankrapan terhadap Muhyiddin pada hari sama ke atas bekas perdana menteri kerana gagal membayar jumlah ditetapkan.
Pada 8 Nov, Mahkamah Tinggi memerintahkan Muhyiddin membayar gabti rugi RM1.35 juta kepada Lim dan kos RM50,000 ke atas tiga kenyataan fitnah dalam hantaran dibuat bekas perdana menteri dan presiden Bersatu itu, pada Mac tahun lalu.
Hantaran itu mendakwa Lim menyebabkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) membatatalkan status pengecualian cukai terhadap badan kebajikan Muslim dalam kapasitinya sebagai menteri kewangan, selain beliau mengenakan cukai ke atas yayasan itu dan penalti 45% ke atas cukai dibayar untuk tahun-tahun sebelumnya.
Muhyiddin juga didapati memfitnah Lim apabila mendakwa arahan pembatalan mesti berasal daripada Lim memandangkan LHDN di bawah bidang kuasanya.
Roz Mawar berkata, tiga kenyataan menggambarkan Lim menyalahgunakan kuasanya terhadap Muslim.
Lim memfailkan saman berkenaan pada 27 Mac 2023.