KPT guna kepakaran tempatan rangka Pelan Pendidikan Tinggi 2025-2035

KPT guna kepakaran tempatan rangka Pelan Pendidikan Tinggi 2025-2035

Pelan itu akan menentukan 'generasi apa yang kita akan lahirkan' dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Menteri Zambry Abd Kadir menyifatkan pembikinan Pelan Pendidikan Tinggi 2025-2035 sebagai ‘agenda besar’ untuk KPT. (Gambar Envato Elements)
PUTRAJAYA:
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT memanfaatkan kepakaran tempatan untuk merangka Pelan Pendidikan Tinggi 2025-2035, yang akan menentukan hala tuju pendidikan tinggi negara bagi 10 tahun akan datang.

Menteri Zambry Abd Kadir berkata pakar tempatan dihimpunkan dalam suatu jawatankuasa khas, yang akan merangka pelan tersebut mengikut keperluan semasa dengan kerjasama pelbagai pihak.

Pelan sedia ada bakal berakhir hujung tahun depan, katanya.

“Kita menggunakan tenaga pakar kita yang sama hebat dengan pakar di luar negara. Ini merupakan satu perubahan besar dalam sistem pendidikan tinggi kita kerana kita lebih tahu apa keperluan negara kita,” katanya pada sidang media berhubung pembentangan kad laporan pencapaian kementerian.

Zambry menyifatkan pembikinan pelan ini sebagai ‘agenda besar’ untuk KPT. “Kita boleh dengar apa yang dilaksanakan di luar negara. Yang penting kita merancang secara bersama dengan kepakaran negara kita, melibatkan semua pihak berkepentingan.”

Secara ringkas, pelan ini katanya akan menentukan sistem pendidikan yang baik untuk dekad mendatang serta laluan bagi lepasan universiti, politeknik, dan kolej komuniti; dan “generasi apa yang kita akan lahirkan dalam tempoh itu”.

“Hal ini sedang diperincikan oleh satu jawatankuasa yang melibatkan pelbagai pihak dan sekali ini kita rangka berdasarkan kepakaran kita. Kita sudah tidak mengambil pendekatan dengan konsultan luar negara untuk merangka pendidikan negara kita sendiri.”

Menyentuh acara hari ini, Zambry berkata KPT berjaya mencapai lima fokus utama bagi tahun 2024 iaitu penyediaan bakat terbaik negara, pengukuhan ekosistem penyelidikan dan inovasi, pelaksanaan pendekatan baharu program pemindahan dan perkongsian ilmu, pengantarabangsaan pendidikan tinggi, dan pemantapan ekosistem pemboleh daya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.