Umpan ahli lompat parti, ‘resepi keretakan’ kerajaan perpaduan, kata Wan Rosdy

Umpan ahli lompat parti, ‘resepi keretakan’ kerajaan perpaduan, kata Wan Rosdy

Naib presiden Umno berkata kestabilan kerajaan hari ini bergantung kuat kepada sikap hormat-menghormati dan saling mempercayai antara parti-parti yang membentuknya.

Wan-Rosdy-Wan-Ismail
Naib Presiden Umno Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Umno menyedari kesan buruk tindakan melompat parti kerana pernah terkesan akibat budaya itu sebelum ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Umno berpendapat tindakan ‘mengumpan’ ahli parti itu untuk menyertai parti lain dalam kerajaan perpaduan patut dielakkan kerana ia umpama satu ‘resepi keretakan’.

Naib Presiden Umno Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Umno sebagai parti yang paling terkesan sebelum ini akibat budaya ‘lompat-melompat’ itu menyedari kesan buruk yang tindakan tersebut.

“Umno konsisten menentang amalan lompat parti yang pernah menyebabkan negara berada dalam keadaan tidak stabil suatu masa dahulu.

“Kestabilan politik dan kerajaan hari ini bergantung kuat kepada sikap hormat menghormati dan saling mempercayai antara parti-parti yang membentuknya,” katanya dalam kenyataan.

Jumaat lalu, FMT memetik sumber dalaman Umno Selangor berkata, rundingan sedang berjalan berhubung kemungkinan Tengku Zafrul Aziz meninggalkan Umno untuk menyertai PKR.

Tetapi, Presiden Umno Zahid Hamidi semalam mengesahkan tiada sebarang pemakluman daripada Tengku Zafrul berhubung ura-ura penyertaannya dalam PKR.

Hari ini, Presiden PKR, Anwar Ibrahim mengesahkan ada perbincangan awal untuk Tengku Zafrul menyertai parti itu.

Perdana menteri dilaporkan berkata, PKR berpegang kepada prinsip terbuka menerima sesiapa saja, tetapi tidak mengajak, selain mahu proses itu dilakukan secara baik.

Tengku Zafrul pula dalam satu kenyataan mengakui pernah mengadakan perbincangan awal dengan PKR, tetapi belum membuat sebarang keputusan sama ada mahu menyertai parti itu.

Menteri pelaburan, perdagangan dan industri itu berkata, perbincangan awal itu tidak membabitkan jawatan di peringkat negeri mahupun PRK.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.