Pusingan ke-3 Sandakan Drag Battle tiada kelulusan MAM

Pusingan ke-3 Sandakan Drag Battle tiada kelulusan MAM

Persatuan Sukan Bermotor Malaysia berkata penganjur perlumbaan itu juga bukan ahli kelab sukan permotoran negara.

Persatuan Sukan Bermotor Malaysia mengucapkan takziah kepada keluarga Abang Adib Abang Ali, anggota Team Prostreet KB yang maut selepas keretanya hilang kawalan dan terbabas ke kiri litar perlumbaan ketika melepasi garisan penamat semalam.
KUALA LUMPUR:
Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) mengesahkan pusingan ketiga Sandakan Drag Battle 2024 di Sabah yang meragut nyawa seorang peserta dari Brunei semalam tidak diluluskan atau dikawal selia persatuan itu.

MAM dalam kenyataan memaklumkan penganjur perlumbaan juga bukan ahli kelab sukan permotoran negara.

“Acara dikawal selia MAM dijalankan dengan mematuhi garis panduan am dan teknikal yang ditetapkan FIA (Persekutuan Automobil Antarabangsa) dan FIM (Persekutuan Motosikal Antarabangsa) berkaitan penganjur, kemudahan, peserta dan kenderaan.

“Penganjur dan peserta ingin terlibat dalam acara permotoran harus pastikan acara tersebut diluluskan dan dikawal selia dengan menghubungi dan bekerjasama dengan MAM, iaitu badan induk secara terus.”

Menurutnya, bagi meningkatkan keselamatan dan profesionalisme sukan permotoran tempatan, MAM memperkenalkan garis panduan komprehensif untuk kategori perlumbaan drag pada Ogos lalu.

Katanya, garis panduan itu diluluskan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), meliputi aspek pengenalan, keselamatan dan pengendalian penganjuran bagi sukan permotoran drag.

Perlumbaan di Sandakan itu menyaksikan kenderaan Honda yang dipandu anggota Team Prostreet KB, Abang Adib Abang Ali, 36, hilang kawalan lalu terbabas ke kiri litar perlumbaan ketika melepasi garisan penamat.

Mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Duchess of Kent di Sandakan petang semalam.

MAM amat duka cita dengan pemergian Allahyarham dan mengucapkan takziah kepada keluarga arwah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.