Peluang kedua: Fokus selesai fasa pertama SSPA dulu

Peluang kedua: Fokus selesai fasa pertama SSPA dulu

KSN kata kemungkinan peluang kedua bagi penjawat awam yang tidak memilih SSPA akan 'tengok nanti'.

penjawat awam
99.87% penjawat awam yang pilih SSPA akan menikmati gaji baharu mulai bulan ini, menurut Cuepacs. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Kemungkinan peluang kedua bagi penjawat awam yang tidak memilih Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) belum dapat dipastikan.

Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar berkata kerajaan ketika ini fokus pada menyelesaikan fasa pertama SSPA yang bermula 1 Dis lalu.

“Sebarang kemungkinan kita akan tengok nanti,” katanya kepada pemberita, selepas menutup mesyuarat agung Koperasi Profesional Putrajaya Berhad.

SSPA menyaksikan pelarasan gaji baharu bagi penjawat awam selepas 12 tahun tanpa semakan, iaitu 15% bagi kumpulan pelaksana dan 7% bagi pengurusan tertinggi.

Pelasaran dilaksanakan secara bertahap, dengan fasa seterusnya akan bermula pada 1 Jan 2026.

Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam pada Isnin lepas berkata 99.87% penjawat awam yang memilih SSPA akan menikmati gaji baharu mulai bulan ini.

Setiausaha Agung Abdul Rahman Mohd Nordin berkata pihaknya belum terima maklumat jika ada peluang kedua untuk penjawat awam yang memilih untuk kekal dengan Sistem Saraan Malaysia (SSM).

Penjawat awam diberi tempoh 40 hari untuk memilih SSPA atau SSM, bermula 21 Okt hingga 30 Nov.

Sebelum itu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dilaporkan berkata kira-kira 1,400 penjawat awam tidak menandatangani SSPA dan jumlah itu kecil berbanding keseluruhan 1.5 juta penjawat awam ketika ini.

Katanya, antara punca penjawat awam tidak setuju dengan opsyen SSPA disebabkan terpengaruh dengan berita tidak benar di media sosial dan terikut-ikut dengan politik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.