Isu tahan jenazah bayi, polis ambil 4 keterangan

Isu tahan jenazah bayi, polis ambil 4 keterangan

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata keterangan ibu bapa bayi terbabit dan dua doktor dirakam semalam.

hussein omar khan
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata pihaknya akan memanggil beberapa individu lagi dalam masa terdekat untuk membantu siasatan.
PETALING JAYA:
Polis sudah merakam keterangan empat individu berhubung dakwaan jenazah bayi ditahan sebuah hospital swasta di Klang kerana ibu bapanya gagal menjelaskan bil rawatan.

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata keterangan ibu bapa bayi terbabit dan dua doktor dirakam semalam.

“Kita akan panggil beberapa lagi individu dalam masa terdekat bagi membantu siasatan,” katanya menurut Harian Metro.

Terdahulu, akhbar itu melaporkan pekerja kilang, Safwan Roshdy kecewa dan sedih dengan tindakan hospital “menahan” jenazah bayi lelakinya selama 16 hari.

Katanya, anak sulungnya yang dilahirkan tidak sempurna tanpa sebelah mata, hidung dan lubang dubur itu meninggal dunia beberapa minit selepas dilahirkan, tetapi dia mendakwa pihak hospital tidak membenarkannya menuntut jenazah itu sehingga bil rawatan dijelaskan.

Rabu lalu, hospital swasta terbabit menafikan dakwaan itu dan berkata mereka mengikuti semua pematuhan dengan meminta pasangan itu menguruskan pengebumian bayi mereka terlebih dahulu sebelum membayar bil rawatan.

Semalam, Hussein dilaporkan berkata, polis menerima satu laporan daripada bapa bayi terbabit dan laporan itu diklasifikasikan Kertas Enkuiri Polis (KEP).

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad, berkata kementeriannya sedang menunggu laporan siasatan Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) berhubung isu itu yang dijangka diperoleh selewat-lewatnya pada mesyuarat pasca Jemaah Menteri minggu depan.

“Kes ini agak unik dari segi latar belakang dan sebagainya, jadi kita tunggu dapatan dan siasatan yang betul untuk kita berlaku adil, tentunya kita simpati dengan keluarga malang ini.

“Namun, kita akan terus mengadakan pemantauan kami di bawah tanggungjawab CKAPS,” katanya menurut Bernama selepas merasmikan Persidangan Responden Pertama Komuniti Malaysia di George Town, Pulau Pinang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.