
Mengulas cadangan Ketua Pemuda Umno Kapar Afifi Aris dilaporkan FMT semalam, Akmal menyambut baik cadangan itu demi kepentingan parti.
“Saya sentiasa bersedia (untuk menjadi orang tengah) demi memperkukuhkan Umno tercinta ini.
“Pendirian saya ialah meletakkan kepentingan perjuangan agama dan bangsa di hadapan mengatasi segala-galanya. Justeru, saya dengan rela hati bersedia,” katanya menurut Berita Harian.
Semalam, Afifi mencadangkan Exco Melaka itu menjadi ‘jambatan’ menarik semula Hishammuddin, Khairy dan Shahril yang sebelum ini dipecat dan digantung keahlian Umno.
Menurutnya, penyertaan tiga bekas pemimpin utama itu serta mereka yang digantung atau dipecat boleh menggambarkan kesatuan parti bagi mengukuhkan kedudukannya.
Khairy, bekas ketua Pemuda Umno dipecat parti atas dakwaan melakukan sabotaj pada kempen PRU15.
Hishammuddin yang pernah menjadi naib presiden Umno dan Shahril, bekas ketua penerangan digantung keahlian selama enam tahun.
Gesaan supaya tiga pemimpin terbabit kembali ke dalam Umno selepas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti menarik balik penggantungan keahlian bekas Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman pada 25 Nov lalu.
Presiden Umno Zahid Hamidi dipetik berkata parti sedia menerima sesiapa sahaja termasuk Khairy dan Hishamuddin namun perlu mencontohi Tajuddin yang membuat rayuan.
Minggu lalu, Khairy menyatakan hatinya sentiasa bersama Umno namun menegaskan tidak mahu kembali ke parti itu hanya untuk menjadi ‘pak turut’.
Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong pula mengulangi pendirian tidak merayu keputusan atas alasan tidak tahu punca penggantungannya.