Yusoff Rawther akan kemuka representasi gugur tuduhan berkait dadah, senjata tiruan

Yusoff Rawther akan kemuka representasi gugur tuduhan berkait dadah, senjata tiruan

Peguamnya berkata, representasi akan difailkan dalam tempoh terdekat selepas meneliti dokumen daripada pihak pendakwaan.

Yusoff Rawther
Muhammed Yusoff Rawther dituduh mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pucuk pistol tiruan pada 6 Sept lepas. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Bekas pembantu penyelidik seorang ahli politik Muhammed Yusoff Rawther akan mengemukakan representasi kepada peguam negara bagi mengugurkan tuduhan mengedar dadah dan memiliki dua pucuk pistol tiruan.

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Muhammed Yusoff, 31, berkata representasi itu akan difailkan pihaknya dalam tempoh terdekat selepas meneliti dokumen-dokumen yang diperoleh daripada pihak pendakwaan.

“Bagi kedua-dua kes ini (dadah dan senjata tiruan) kita mohon untuk digugurkan terus dan tidak diteruskan langsung … DNA (lepas dan bebas) bukan DNAA (lepas tanpa bebas),” kata peguam itu kepada media selepas sebutan kes di Mahkamah Majistret hari ini.

Terdahulu Majistret MS Arunjothy membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sabri Othman bagi memindahkan kes senjata tiruan yang dihadapi Muhammed Yusoff ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan bersama kes dadah.

Sementara itu, ketika sebutan kes di Mahkamah Tinggi, Hakim Muhammad Jamil Hussin menetapkan 7 Jan depan untuk pengurusan kes dadah yang dihadapi Muhammed Yusoff.

Muhammed Yusoff didakwa memiliki dua pucuk pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara pada 6 Sept lepas.

Tuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa atas tuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305g dalam kenderaan dinaikinya di hadapan surau IPK Kuala Lumpur juga pada 6 Sept lepas.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan disebat tidak kurang 12 kali.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.