Lebih 70,000 transaksi kediaman pada suku ketiga 2024

Lebih 70,000 transaksi kediaman pada suku ketiga 2024

Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta berkata jumlah itu tertinggi dalam tempoh 10 tahun dengan nilai hampir RM29 bilion.

Menurut Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, subsektor kediaman terus mendominasi aktiviti pasaran, menyumbang lebih 60% bilangan transaksi harta tanah dalam negara.
KUALA LUMPUR:
Pasaran harta tanah kediaman negara pada suku ketiga merekodkan lebih 70,000 transaksi, tertinggi dalam tempoh 10 tahun dengan nilai hampir RM29 bilion, peningkatan 2.9% dari segi bilangan dan 1.3% nilai transaksi berbanding tempoh sama pada 2023.

Ketua Pengarah Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) Abdul Razak Yusak berkata subsektor kediaman terus mendominasi aktiviti pasaran, menyumbang lebih 60% bilangan transaksi harta tanah dalam negara.

Menurutnya secara keseluruhan, prestasi pasaran harta tanah Malaysia pada suku ketiga 2024 terus kukuh dengan bilangan dan nilai transaksi masing-masing menokok kepada 112,305 transaksi bernilai RM57.31 bilion.

Peningkatan marginal dalam bilangan sebanyak 3.1% turut diimbangi dengan kenaikan kecil 0.3% nilai transaksi berbanding tempoh yang sama pada 2023, katanya.

“Prestasi pasaran harta tanah yang kukuh ini disokong oleh pertumbuhan positif bilangan transaksi harta tanah di semua subsektor, pertumbuhan menggalakkan aktiviti pembinaan dan penurunan unit kediaman siap dibina tidak terjual secara konsisten sejak suku pertama 2024,” katanya dalam kenyataan.

Subsektor Kediaman Kekal Momentum Pertumbuhan

Subsektor kediaman dalam lingkungan harga RM300,000 dan ke bawah menguasai aktiviti pasaran kediaman negara dengan merekodkan 53.4% (37,689 transaksi), diikuti harga RM300,001 hingga RM500,000 sebanyak 23.8% (16,790 transaksi) dan RM500,001 ke atas sebanyak 16,041 (22.8%) transaksi.

Razak berkata Selangor menyumbang bilangan dan nilai transaksi tertinggi, mendominasi 21.1% bilangan (14,902 transaksi) dan 29.2% nilai (RM8.40 bilion).

Johor di kedudukan kedua tertinggi dengan 17.9% bilangan (12,616 transaksi) dan 20.2% nilai (RM5.81 bilion).

Mengikut jenis harta, permintaan kekal tertumpu kepada kediaman jenis rumah teres yang mendominasi hampir 42% bilangan transaksi kediaman negara, katanya.

“Inisiatif dan sokongan berterusan kerajaan seperti menambah baik fleksibiliti syarat-syarat permohonan bagi program Malaysia My Second Home (MM2H) dan pengecualian duti setem dokumen pindah milik bagi pembelian rumah pertama, menjadi pemangkin pasaran harta tanah yang lebih kukuh,” katanya.

Sementara itu, prestasi kediaman siap dibina tidak terjual turut memperlihatkan momentum yang lebih baik.

Unit kediaman siap dibina tidak terjual merekodkan penurunan marginal, masing-masing 3.0% dan 2.8% dalam bilangan dan nilai kepada 21,968 unit bernilai RM13.85 bilion berbanding tempoh sama pada suku kedua 2024.

Segmen Aktiviti Pembinaan

Menurut Razak, bagi segmen aktiviti pembinaan, harta tanah kediaman menunjukkan prestasi menggalakkan apabila peringkat siap dibina, mula dibina dan penawaran baharu dirancang menunjukkan pertumbuhan positif, masing-masing meningkat 4.6%, 27.6% dan 37.1% berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, situasi adalah berbeza dalam segmen pelancaran baharu yang menyaksikan sedikit penurunan pada suku ketiga 2024.

Pelancaran baharu kediaman merekodkan 13,708 unit berbanding 18,974 unit yang direkodkan pada suku kedua 2024, dengan 42.6% merupakan kediaman berharga dalam lingkungan RM500,001 hingga RM1 juta, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.