Keluarga diraja, kerajaan Saudi tak nafi beri ‘derma’, Najib beritahu mahkamah

Keluarga diraja, kerajaan Saudi tak nafi beri ‘derma’, Najib beritahu mahkamah

Najib Razak berkata Menteri Luar Arab Saudi Adel al-Jubeir sebelum ini mengesahkan derma itu dan tidak pernah menarik kenyataannya.

Najib Razak juga menamakan 10 individu yang memberi keterangan terhadapnya dalam perbicaraan 1MDB sebagai pihak yang menuduhnya. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa tiada seorang pun daripada keluarga diraja atau kerajaan Arab Saudi pernah menafikan bahawa Almarhum Raja Abdullah memberikan ‘derma’ kepadanya.

Bekas perdana menteri itu, dalam perbicaraan kes 1MDB, berkata Menteri Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir, sebelum ini pernah mengesahkan mengenai derma tersebut dan tidak pernah menarik balik kenyataan itu sehingga kini.

“Dakwaan tidak berasas yang melibatkan keluarga diraja biasanya akan mendapat penafian rasmi untuk melindungi integriti institusi monarki.

“Hakikatnya bahawa tiada penafian seperti itu dikeluarkan mengukuhkan kredibiliti kepercayaan saya bahawa dana tersebut sememangnya adalah derma,” katanya.

Najib juga memaklumkan mahkamah bahawa beliau bertemu Raja Salman, anak kepada Raja Abdullah, semasa lawatan baginda ke Malaysia pada 2017.

“Jika baginda tidak berpuas hati dengan saya, mengapa baginda datang ke Kuala Lumpur?

“Untuk mendapatkan seorang raja melawat Kuala Lumpur adalah pengiktirafan besar terhadap hubungan erat antara kedua-dua negara,” katanya.

Katanya, Raja Salman turut membawanya melawat Kaabah dan menziarah makam Nabi Muhammad.

‘Saya tidak didakwa di AS kerana 1MDB’ 

Najib berkata beliau tidak pernah didakwa di Amerika Syarikat (AS) berhubung kesalahan berkaitan 1MDB. Beliau juga mendakwa kerajaan AS menghalang usahanya untuk mengakses dokumen yang digunakan dalam kes bekas pegawai Goldman Sachs, Roger Ng.

Najib mendakwa kerajaan AS menggunakan pengaruhnya untuk ‘membentuk persepsi awam dan hasil politik di Malaysia’.

Menurutnya, sebuah dokumen yang bocor pada 2016 menunjukkan strategi untuk mempengaruhi pendapat awam dan menggugat kestabilan kerajaan Barisan Nasional ketika itu.

Beliau juga berkata kes rampasan sivil yang mendapat liputan meluas oleh Jabatan Kehakiman (DoJ) telah mencipta naratif palsu yang menjejaskan pendapat awam dan menyebabkan beliau dihakimi secara pramatang.

“Jelas bahawa tingkah laku DoJ menjadi sangat agresif apabila individu yang terlibat adalah ahli politik atau mempunyai kaitan rapat dengan tokoh politik,” katanya.

‘Saya maafkan mereka yang menuduh saya’ 

Najib turut menamakan 10 individu yang memberikan keterangan terhadapnya dalam perbicaraan ini sebagai pihak yang menuduh beliau.

Mereka adalah:

  • Bekas pengerusi 1MDB Bakke Salleh;
  • Bekas CEO Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Hazem Abdul Rahman;
  • Bekas ketua pegawai kewangan Azmi Tahir;
  • Bekas penasihat undang-undang Loo Ai Swan;
  • Bekas pengarah Ismee Ismail;
  • Bekas gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz;
  • Bekas pegawai khas Amhari Efendi Nazaruddin;
  • Bekas pegawai Kementerian Kewangan Siti Zauyah Mohd Desa; dan
  • Bekas menteri kewangan kedua Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau mendakwa saksi-saksi yang memberikan keterangan terhadapnya telah berbohong untuk mengaitkannya dengan skandal tersebut bagi menyelamatkan diri mereka daripada tuduhan salah laku.

“Saya tidak akan membalas dendam terhadap mereka kerana itu bukan sikap saya,” katanya.

Najib kini sedang dibicarakan atas 25 pertuduhan melibatkan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram berkaitan dakwaan dana 1MDB dalam akaun bank peribadinya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung 6 Jan ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.