Buaya: Pengunjung dilarang mandi di Pantai Teluk Batik

Buaya: Pengunjung dilarang mandi di Pantai Teluk Batik

Larangan berkuat kuasa hari ini sehingga pihak berkuasa yakin terhadap situasi semasa dan selesai tempoh pemantauan.

buaya teluk batik
Rakaman video menunjukkan penampakan buaya di Pantai Teluk Batik.
PETALING JAYA:
Pengunjung dilarang melakukan aktiviti air termasuk mandi-manda di Pantai Teluk Batik, Perak, susulan penampakan buaya tembaga di pusat peranginan itu, semalam.

Jurucakap Majlis Perbandaran Manjung (MPM) berkata, larangan itu berkuat kuasa hari ini sehingga pihak berkuasa yakin terhadap situasi semasa dan selesai tempoh pemantauan dari segi keselamatan di pantai berkenaan.

Katanya, penampakan buaya itu dikesan di jeti milik syarikat Vale Mineral (Malaysia) Sdn Bhd sekitar 2.5km dari Pantai Teluk Batik.

“Pihak MPM, Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak sudah menjalankan operasi pemantauan dan memasang beberapa perangkap dalam tempoh operasi penangkapan buaya ketika ini.

“MPM memohon pengunjung mematuhi arahan dan tidak melakukan aktiviti pantai sehingga dimaklumkan kelak.

“Bagaimanapun, aktiviti di taman dan Dataran Teluk Batik masih dibenarkan dan beroperasi seperti biasa,” katanya menurut Harian Metro.

Sementara itu, tinjauan di lokasi mendapati terdapat bendera merah dikibar berhampiran gigi pantai menandakan larangan aktiviti mandi.

Semalam, media melaporkan pasukan rondaan APM menerima maklumat daripada satu rakaman video penampakan buaya itu yang berada berdekatan jeti Vale kira-kira 2.24 petang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.