BNM umum penyelesaian isu premium insurans naik tak lama lagi

BNM umum penyelesaian isu premium insurans naik tak lama lagi

Fahmi Fadzil berkata, perdana menteri memaklumkan bahawa bank pusat itu masih memerlukan sedikit masa sebelum membuat pengumuman.

bank negara
Menurut Fahmi Fadzil, perdana menteri memaklumkan bahawa BNM akan membuat pengumuman penyelesaian isu kenaikan kadar premium insurans perubatan tidak lama lagi.
PUTRAJAYA:
Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengumumkan penyelesaian isu kenaikan kadar premium insurans perubatan tidak lama lagi, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Fahmi yang juga jurucakap kerajaan perpaduan berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, yang mengatakan bahawa bank pusat itu masih memerlukan sedikit masa sebelum membuat pengumuman.

“Perdana menteri sudah memaklumkan perkara ini pada sesi soal jawab Perdana Menteri Selasa lepas, bahawa BNM akan membuat penilaian, perbincangan dan akhirnya nanti mengumumkan satu keputusan hasil daripada isu kadar insurans.

“Hari ini, perdana menteri memaklumkan kepada Jemaah Menteri, perlu sedikit masa lagi, tapi dalam masa yang tak terlalu lama, BNM akan buat pengumuman,” katanya pada sidang media mingguan Menteri Komunikasi.

Pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat Selasa lepas, Anwar berkata, BNM dan Kementerian Kesihatan (KKM) akan menentukan kawalan agar kenaikan premium insurans perubatan tidak terlalu tinggi hingga menimbulkan pelbagai masalah.

Semalam, ketika sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat dasar Kementerian Kewangan di Dewan Negara, Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan dilaporkan berkata, BNM akan mengumumkan butiran lanjut mengenai langkah interim bagi mengatasi kenaikan kadar premium insurans pada minggu depan.

Fahmi hari ini berkata, beliau yakin pengumuman itu kelak akan memberi kelegaan kepada rakyat yang mengharapkan agar isu itu dapat ditangani sebaik mungkin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.