Akmal dicadang jadi ‘jambatan’ kepulangan Hishammuddin, KJ ke Umno

Akmal dicadang jadi ‘jambatan’ kepulangan Hishammuddin, KJ ke Umno

Ketua Pemuda Umno Kapar Afifi Aris yakin Dr Akmal Saleh boleh memainkan peranan itu.

akmal saleh
Dr Akmal Saleh berkata tiada istilah ‘pak turut’ dalam Umno yang sentiasa mengambil pandangan ahli dan pemimpin.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin akar umbi Pemuda Umno mencadangkan ketuanya Dr Akmal Saleh menjadi ‘jambatan’ menarik semula Hishammuddin Hussein, Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan ke pangkuan parti.

Ketua Pemuda Umno Kapar, Afifi Aris, berkata penyertaan tiga bekas pemimpin utama itu serta mereka yang digantung atau dipecat boleh menggambarkan kesatuan parti bagi mengukuhkan kedudukannya.

“Saya meletakkan keyakinan bahawa Ketua Pemuda Akmal boleh memainkan peranan dan jambatan untuk mengembalikan Hishammuddin, Shahril, Khairy dan mana-mana individu yang dipecat dan digantung ke dalam Umno.

“Umno kuat kerana kesatuan orang Melayu, justeru marilah hentikan polemik yang akhirnya merugikan Umno,” katanya di Facebook sambil menggesa parti terus menjuarai isu rakyat.

Khairy, bekas ketua Pemuda Umno dipecat parti atas dakwaan melakukan sabotaj pada kempen PRU15.

Hishammuddin yang pernah menjadi naib presiden Umno dan Shahril, bekas ketua penerangan digantung keahlian selama enam tahun.

Gesaan supaya tiga pemimpin terbabit kembali ke dalam Umno selepas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti menarik balik penggantungan keahlian bekas Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman pada 25 Nov lalu.

Presiden Umno Zahid Hamidi dipetik berkata parti sedia menerima sesiapa sahaja termasuk Khairy dan Hishamuddin namun perlu mencontohi Tajuddin yang membuat rayuan.

Minggu lalu, Khairy menyatakan hatinya sentiasa bersama Umno namun menegaskan tidak mahu kembali ke parti itu hanya untuk menjadi ‘pak turut’.

Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong pula mengulangi pendirian tidak merayu keputusan atas alasan tidak tahu punca penggantungannya.

Sebelum ini, Akmal berkata tiada istilah ‘pak turut’ dalam Umno yang sentiasa mengambil pandangan ahli dan pemimpin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.