Laporan RCI Batu Puteh ada banyak kesilapan, kata Dr M

Laporan RCI Batu Puteh ada banyak kesilapan, kata Dr M

Bekas perdana menteri itu berkata selepas meneliti laporan itu, beliau mendapati ada banyak maklumat salah.

batu puteh
Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan mengesyorkan siasatan jenayah terhadap Dr Mahathir Mohamad. (Gambar AFP)
PUTRAJAYA:
Dr Mahathir Mohamad mempertikaikan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan dengan berkata terdapat “banyak” salah lapor.

Bekas perdana menteri itu berkata, selepas meneliti laporan berkenaan, beliau mendapati ia mengandungi banyak maklumat salah.

“Ada banyak perkara dibangkitkan dalam prosiding RCI yang tidak dibenarkan diketahui orang ramai,” katanya dalam sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini.

Mahathir bagaimanapun tidak memperincikan kesilapan yang dikatanya itu.

“Tapi, mereka (suruhanjaya) bercakap tentang RCI sebagai proses terbuka, di mana orang ramai boleh dengar dan ikuti apa yang berlaku.”

Laporan RCI mengenai penemuan itu dimuat naik ke laman sesawang Parlimen Khamis lalu, walaupun banyak syor disunting.

Antara syor tidak disunting ialah setiausaha RCI memfailkan laporan polis terhadap Mahathir untuk siasatan jenayah di bawah Seksyen 415 dan 418 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Menurut laporan itu, Mahathir mungkin sengaja mempengaruhi Jemaah Menteri menghentikan permohonan semakan dan tafsiran keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada 2008 mengenai Batu Puteh serta Tubir Selatan.

Sejak itu, Mahathir mengulangi penafiannya bahawa beliau membuat keputusan sepihak mengenai perkara berkenaan.

Beliau berkata, orang seperti bekas timbalan perdana menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail, bekas menteri kewangan Lim Guan Eng dan bekas menteri dalam negeri Muhyiddin Yassin antara yang lain menghadiri mesyuarat Jemaah Menteri ketika isu itu dibangkitkan.

Menurutnya, mereka boleh bersuara jika mereka membantah idea tidak meneruskan permohonan semakan itu, “tetapi tiada siapa yang bersuara”.

Wan Azizah, Loke Siew Fook dan Mohamad Sabu dilaporkan berkata, mereka hanya dimaklumkan mengenai keputusan Mahathir tidak meneruskan permohonan semakan dan tiada peluang menyuarakan pendirian mereka.

Mahathir kemudian mempersoalkan sama ada sesuatu isu tidak boleh dibahaskan selepas dimaklumkan dan adakah mereka perlu diberitahu secara terang-terangan untuk menyuarakan pendapat mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.