
Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad, berkata keputusan itu tidak dibuat sewenang-wenangnya dan pandangan pelbagai pihak diambil kerana sedar isu kekurangan kakitangan telah lama membebani mereka.
“Perkara ini kami (Jemaah Menteri) juga telah bincang dalam Kabinet dan saya sangat sedar dan insaf dengan apa (isu tambahan waktu bekerja) yang mereka bangkitkan.
“Kita akan teruskan libat urus ini kerana perkara ini telah dibuat dalam SSPA dan Kabinet dan perdana menteri pun (mahukan) perkara ini dilaksanakan dahulu dan kita sedia menimbang keperluan ini sebab saya tahu (akan masalahnya),” katanya semasa sesi penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2025 bagi kementeriannya di Dewan Negara.
Terdahulu, Senator A Lingeswaran mencelah dan bertanyakan pendirian Dzulkefly mengenai tambahan waktu bekerja jururawat selama tiga jam di wad hospital berkuat kuasa 1 Dis lalu.
Dzulkefly berkata, biarpun dalam arahan baharu itu memerlukan jururawat bekerja lebih masa, namun kebajikan mereka tetap terjaga kerana ia dilaksanakan menerusi waktu bekerja syif lebih fleksibel, walaupun waktu kerja berubah kepada 45 jam seminggu berbanding 42 jam sebelum ini.
“Dulu 42 jam kerja itu tiada rehat, makan…Mereka terpaksa curi-curi masa atau ambil giliran. 45 jam kerja itu betul adalah tambahan, tapi pada waktu sama, kita perlu tahu 45 jam kerja itu mengandungi waktu makan, waktu sembahyang, ‘handing passing over’ tugasan atau syif.”
Dalam pada itu, Dzulkefly memaklumkan pihaknya akan membawa serta meminda Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) untuk menyelaraskan penetapan caj konsultasi perubatan pada sidang Parlimen akan datang.