Pinjaman diberi bukan geran, Mara perlu modal pusingan, kata Zahid

Pinjaman diberi bukan geran, Mara perlu modal pusingan, kata Zahid

Oleh itu, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata Mara akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana peminjam culas, termasuk melakukan penyitaan.

Zahid Hamidi berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian antara Mara Incorporated Sdn Bhd, Felcra Berhad dan Privabytes Sdn Bhd di Kuala Lumpur. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Peminjam perlu membayar pinjaman yang diberikan Majlis Amanah Rakyat (Mara) kerana ia bukannya geran atau bantuan, kata Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi.

Beliau berkata, Mara memerlukan modal pusingan untuk memberi peluang kepada peminjam lain maju dalam bidang masing-masing.

Justeru, kata menteri kemajuan desa dan wilayah itu, Mara akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana peminjam culas, termasuk melakukan penyitaan.

“Jadi, dalam perkara ini, kita tidak memilih bulu untuk mengambil tindakan kerana ini adalah wang rakyat.

“Wang rakyat adalah dari ‘taxpayer’ (pembayar cukai)…ini harus difahami semua pihak,” katanya selepas Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian antara Mara Incorporated Sdn Bhd, Felcra Berhad dan Privabytes Sdn Bhd di sini.

Dalam perkembangan sama, Zahid berkata, Mara berjaya menurunkan peratusan pinjaman tidak berbayar daripada dua digit kepada satu digit.

“Walaupun kita belum berpuas hati, namun kita mempunyai usaha bukan saja memberi pinjaman, tetapi melakukan penyeliaan, latihan dan tindakan susulan.”

Ditanya saranannya kepada pelakon Rozita Che Wan selepas rumahnya diserbu atas kegagalan membayar pinjaman Mara RM1 juta, Zahid berseloroh: “Itu kena tanya ketua pengarah Mara.”

Semalam, media melaporkan serbuan itu bagi membolehkan Mara menilai barangan dalam rumah dua tingkat itu bagi tujuan penyitaan selepas selebriti terbabit gagal membayar pinjaman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.