
James Chin dari Universiti Tasmania berkata Muda terlalu bergantung pada Syed Saddiq untuk menarik sokongan pengundi, dan perlu ‘keluar daripada bayangannya’ untuk terus relevan.
Menurutnya, pemilihan akan datang mesti memperlihatkan kemunculan pemimpin baharu yang boleh membuktikan bahawa Muda relevan kepada politik Malaysia.

“Jika mereka mendapat sokongan daripada golongan muda, kita akan lihat ramai wajah baharu. Ini menunjukkan parti sedang meremajakan dirinya dan menarik perhatian generasi akan datang,” katanya.
Chin juga berkata, Syed Saddiq perlu memisahkan dirinya daripada persepsi bahawa beliau masih mempunyai kaitan dengan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
“Ramai yang masih melihatnya sebagai ‘katak politik’ untuk Mahathir, yang boleh merosakkan imej parti,” katanya.
Syed Saddiq disabitkan atas kesalahan pecah amanah jenayah dan salah guna harta ketika bersama Bersatu.
Pada 9 Nov tahun lalu, beliau dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Tinggi. Rayuannya terhadap sabitan dan hukuman itu akan didengar di Mahkamah Rayuan pada Mac tahun depan.
Pemangku Presiden Muda, Amira Aisya Abdul Aziz, menyatakan hasrat untuk bertanding dalam pemilihan parti dan berharap Syed Saddiq, meskipun berdepan isu perundangan, akan turut bertanding.
Sementara itu, felo Akademi Sains Malaysia, Jayum Jawan pula bersikap pesimis terhadap peluang Muda dalam PRU akan datang. Beliau berkata parti itu tidak mempunyai tokoh muda lain selain Syed Saddiq yang mampu menghidupkan kembali kekuatan parti.
“Parti ini terdiri daripada golongan muda yang penuh semangat tetapi tidak dikenali. Itu tidak mencukupi. Walaupun golongan muda itu mungkin berpendidikan, mereka kurang kebijaksanaan yang diperlukan dalam politik,” katanya.

Jayum berkata walaupun Muda ditubuhkan pada 2020 untuk meraih sokongan golongan muda, ia ‘salah tafsir’ untuk menganggap semua anak muda akan mengundi calon muda.
“Jika pemerhatian semudah itu benar, mengapa wanita tidak mengundi wanita, atau pengundi warga emas mengundi calon yang sebaya?”
Beliau menjangkakan Muda mungkin tidak bertahan dalam PRU akan datang sekiranya Syed Saddiq terus menjauhkan diri daripada parti itu untuk menumpukan perhatian kepada rayuannya.

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pula menjangka pemilihan Muda akan menyaksikan wajah-wajah sama bertanding untuk jawatan.
“Walaupun Amira menyeru pemilihan untuk memupuk demokrasi, kemungkinan besar beliau akan terus kekal sebagai presiden,” katanya kepada FMT.