Mayat lelaki dalam bagasi mungkin warga asing, kata polis

Mayat lelaki dalam bagasi mungkin warga asing, kata polis

Polis berkata tiada tanda suntikan BCG pada badan.

hussein omar khan
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata hasil bedah siasat mendapati mangsa ialah lelaki berusia 20-an dengan ketinggian 155cm, berat 45kg, berkulit cerah, tiada tatu atau tanda lain di badan.
PETALING JAYA:
Polis tidak menolak kemungkinan mayat lelaki ditemui dalam bagasi di Taman CP6, Cheras Perdana ialah warga asing kerana tiada tanda suntikan BCG pada badan.

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata hasil bedah siasat oleh Hospital Serdang mendapati mangsa ialah lelaki berusia 20-an dengan ketinggian 155cm, berat 45kg, berkulit cerah, tiada tatu atau tanda lain di badan.

“Turut tiada tanda suntikan BCG dan mangsa tidak bersunat, selain ketika ditemui dia berbaju serta berseluar pendek floral warna hijau.

“Badannya juga dalam keadaan utuh dan sempurna serta memakai cincin warna perak di jari kanan,” katanya menurut Harian Metro.

Menurutnya, tiada kecederaan lain ditemui, kecuali tulang hidung patah dan punca kematian tidak dapat disahkan sementara menunggu keputusan makmal.

Beliau berkata, mayat dimuat ke dalam bagasi dengan melipat tubuh mangsa.

“Kita tidak menolak kemungkinan mangsa adalah lelaki warga asing, namun siasatan masih dijalankan.

“Pihak polis memohon orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan mangsa tampil menyalurkan maklumat.”

Semalam, Ketua Polis Kajang, Naazron Abdul Yusof dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan pada 11.45 pagi Selasa berhubung penemuan sebuah bagasi berbau busuk daripada orang awam.

Beliau meminta orang ramai mempunyai sebarang maklumat berkaitan menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau pegawai penyiasat kes Umesh Ratna Kumar di talian 012-6114900.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.