KKM siasat dakwaan jasad bayi ditahan, kata menteri

KKM siasat dakwaan jasad bayi ditahan, kata menteri

Dzulkefly Ahmad meminta semua pihak bertenang dan beri ruang kepada siasatan.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad mahu pihaknya mendapatkan fakta sebenar berkait isu jasad bayi didakwa ditahan dua minggu kerana masalah bayaran bil.
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menyiasat sebuah hospital swasta di Klang berhubung dakwaan jenazah bayi ditahan dua minggu kerana ibu bapa gagal melunaskan bil.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad meminta semua pihak bertenang bagi memberi ruang kepada pihaknya, termasuk Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) untuk menyiasat.

“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga dan mahu kita semua menangani isu ini dengan penuh ihsan, belas kasihan, dan empati kita.

“Bukan perkara mudah ada dakwa dakwi di sana jadi saya percaya kita boleh sabar untuk mendapatkan fakta yang sebenarnya sebelum kita buat apa-apa andaian yang mungkin kita akan kesal kemudian.

“Saya akan menantikan dengan sabar untuk dapatan penuh daripada semua pihak berwajib yang sedang menjalankan siasatan termasuk pihak kami, CKAPS yang telah turun mendekati beberapa pihak terbabit,” katanya pada sidang media di Dewan Rakyat.

Terdahulu, Hospital Bersalin Razif (HBR) menafikan dakwaan jenazah bayi ditahan dua minggu kerana pesakit tidak melangsaikan kos rawatan, dan menegaskan ia mengikuti semua pematuhan untuk mempercepatkan pengebumian jenazah bayi diberi nama Adham.

Pihak hospital berkata, mereka boleh menguruskan urusan pengebumian bayi terlebih dahulu sebelum membayar tunggakan bil, namun ibu bersalin menegaskan perkara itu akan diuruskan ‘suami’.

Beberapa hari berlalu, HBR berkata, mereka terus mengingatkan wanita itu untuk urusan pengebumian anaknya, tetapi dia tetap berkata, “suaminya akan uruskan”.

Semalam, NGO Unit Khas Van Jenazah (UKVJ) di media sosial mempersoalkan tindakan hospital swasta terbabit yang didakwa tidak berperikemanusiaan mengendalikan pengurusan jenazah bayi lahir tidak cukup sifat.

NGO itu mendakwa ada kakitangan hospital terbabit menghina bayi itu dan mendedahkan bayi berkenaan disimpan dalam peti sejuk beku selama dua minggu, selain ibunya ditahan pihak hospital kerana gagal menjelaskan kos rawatan RM3,600.

Difahamkan, jenazah bayi itu hanya dikeluarkan selepas bapanya menyelesaikan kos rawatan untuk dikebumikan semalam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.