Jalur Gemilang terbalik, Victor akui tak sengaja

Jalur Gemilang terbalik, Victor akui tak sengaja

Bendera Malaysia dipapar secara terbalik pada jersi pemain perseorangan utama negara, Lee Zii Jia, pada Jelajah Dunia Akhir BWF.

Victor Malaysia memohon maaf kerana paparan Jalur Gemilang terbalik pada jersi dikenakan pemain badminton kebangsaan, Lee Zii Jia.
KUALA LUMPUR:
Penaja pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia, Victor, membuat permohonan maaf berhubung kesilapan logo Jalur Gemilang terbalik di jersi pemain itu pada perlawanan pertamanya di Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Victor Malaysia dalam kenyataan dimuat naik di akaun X, mengakui kesilapan dan kesal dengan insiden itu, sambil menjelaskan ia tidak menggambarkan rasa hormat yang mendalam terhadap Malaysia, simbol kebangsaan, atau kebanggaan dan kehormatan mewakili negara di pentas antarabangsa.

“Kami dengan ikhlas memohon maaf kepada semua peminat badminton Malaysia dan Lee Zii Jia atas kesilapan pada jersinya semasa Jelajah Dunia Akhir BWF hari ini.

“Bendera Malaysia melambangkan perpaduan dan identiti. Justeru, kami amat kesal dengan sebarang tindakan tidak disengajakan yang disebabkan oleh kesilapan ini,” menurut kenyataan itu.

Victor berkata, pihaknya sedang meneliti secara menyeluruh bagi memastikan kejadian sama tidak berulang lagi.

Logo Jalur Gemilang yang ditampal secara terbalik di kiri baju dalam perlawanan menentang pemain Taiwan, Chou Tien Chen jelas kelihatan di televisyen dan mencetuskan kekecohan di media sosial.

Pada perlawanan pertama kumpulan A itu, Zii Jia berjaya menewaskan Tien Chen 21-13, 21-15.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.