Bung takut slogan ‘rumah kita, kita jaga’, dakwa pemimpin Gagasan Rakyat

Bung takut slogan ‘rumah kita, kita jaga’, dakwa pemimpin Gagasan Rakyat

Nizam Abu Bakar Titingan berkata slogan dibawakan Gabungan Rakyat Sabah semakin mendapat perhatian rakyat.

Nizam Abu Bakar Titingan (kiri) membidas Bung Moktar Radin melakukan serangan peribadi terhadap Jeffrey Kitingan.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) mendakwa Ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin bimbang dengan slogan “rumah kita, kita jaga” sehingga sanggup menyerang sentimen tempatan itu.

Ketua Penerangannya, Nizam Abu Bakar Titingan, berkata serangan Adun Lamag itu menunjukkan beliau semakin bimbang dengan sokongan rakyat terhadap parti tempatan yang dilihat mampu memenuhi aspirasi mereka.

Adun Apas itu hairan mengapa Ahli Parlimen Kinabatangan berkenaan takut dengan ucapan Timbalan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Jeffrey Kitingan yang mengungkap slogan terbabit hanya untuk menaikkan semangat sayap Pemudanya dalam satu majlis Ahad lalu.

“Saya agak hairan kenapa ketua Umno Sabah begitu terkesan dengan ucapan tersebut. Adakah beliau secara tidak langsung mengakui Umno musuh dalam selimut untuk kerajaan negeri.

“Bagi saya, tidak wajar Bung melakukan serangan peribadi dengan mengungkit perjalanan politik Kitingan penuh berliku,” katanya dalam kenyataan.

Nizam turut menjelaskan kenyataan Kitingan yang juga presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) hanya mahu melihat rakyat serta pemimpin Sabah bersatu menolak dasar pecah dan perintah.

“Beliau (Kitingan) berhujah berdasarkan fakta dan bukan retorik politik semata-mata,” katanya.

Semalam, Bung membidas Kitingan dengan menyifatkan momokan “rumah kita, kita jaga” sebagai penghinaan kepada rakyat Sabah kerana rumah yang mereka jaga hampir musnah akibat tindakan meminta dan menerima rasuah.

Beliau merujuk dakwaan rasuah lombong mineral dikaitkan beberapa Adun kerajaan, termasuk menteri kanan yang kini dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.