Buat apa rayu, Hishammuddin ulas pelawaan kembali komited dalam Umno

Buat apa rayu, Hishammuddin ulas pelawaan kembali komited dalam Umno

Bekas naib presiden Umno berkata sehingga kini tidak tahu sebab penggantungannya selama enam tahun.

Hishammuddin Hussein yang juga Ahli Parlimen Sembrong antara pemimpin dikenakan penggantungan enam tahun oleh Umno atas dakwaan pelanggaran disiplin pada PRU15.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein tidak akan merayu penggantungan dikenakan Umno.

Beliau yang juga bekas naib presiden, berkata sehingga kini tidak diketahui sebab penggantungannya.

“Buat apa saya nak merayu, sampai sekarang pun saya tidak tahu mengapa digantung?” katanya menurut Harian Metro di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai tindakan Umno pada 25 Nov lalu, menarik semula penggantungan keahlian bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman.

Pada 1 Dis, Presiden Umno Zahid Hamidi, secara terbuka bersedia menerima Hishammuddin dan bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, kembali jika mereka membuktikan komitmen kepada parti.

Khairy berkata, hatinya sentiasa bersama Umno namun menegaskan tidak mahu kembali ke parti itu hanya untuk menjadi ‘pak turut’.

Katanya, kepulangan ke Umno sesuatu yang boleh dibincangkan sekiranya parti itu boleh menerima beliau dan idealismenya untuk ‘Umno yang lebih baik’ seadanya.

Pada Januari lalu, Majlis Kerja Tertinggi Umno memutuskan memecat Khairy dan bekas ketua Umno Selangor, Noh Omar daripada Umno kerana pelanggaran disiplin sewaktu PRU15.

Umno turut menggantung keahlian beberapa pemimpin lain selama enam tahun termasuk Hishammuddin; bekas ketua penerangan, Shahril Sufian Hamdan, dan bekas Ahli Parlimen Jempol, Mohd Salim Mohd Sharif.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.