Usah rayu, Mara tak pilih bulu peminjam culas, kata Asyraf

Usah rayu, Mara tak pilih bulu peminjam culas, kata Asyraf

Mara sudah memberi ruang kepada peminjam bermasalah untuk berunding mengenai penjadualan dan penstrukturan hutang.

asyraf wajdi dusuki
Pengerusi Mara Asyraf Wajdi Dusuki berkata sebelum tindakan perundangan dilakukan nilai ‘ihsan’ juga diutamakan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pengerusi Mara Asyraf Wajdi Dusuki enggan melayan rayuan mana-mana pihak untuk melupuskan pinjaman daripada institusi itu.

Katanya, Mara tidak sewenang-wenangnya mengambil tindakan atau memilih bulu terhadap peminjam yang culas.

“Hutang wajib dibayar. Usah merayu kepada saya kerana bukan hak saya untuk melupuskan hutang. Saya menjaga amanah wang rakyat bawah Mara, bakal dipersoalkan Allah kelak,” katanya di Facebook.

Terdahulu, media melaporkan Mara menyerbu kediaman pelakon Rozita Che Wan atau lebih dikenali Che Ta di Kota Damansara, pagi tadi, susulan kegagalannya membayar pinjaman berjumlah RM1 juta.

Menurut sumber, tindakan itu dilakukan bagi membolehkan Mara menilai barangan di dalam kediaman aktres tersebut bagi tujuan penyitaan.

Difahamkan, selebriti itu sebelum ini dikatakan pernah berusaha bertemu pengurusan tertinggi Mara dalam usaha menyelesaikan masalah hutang tertunggaknya.

Mengulas lanjut, Asyraf berkata Mara terikat dengan prosedur dan proses ketat menurut lunas undang-undang, justeru sebelum sebarang tindakan perundangan dilakukan nilai ‘ihsan’ juga diutamakan.

Beliau berkata, ini termasuk memberi ruang kepada peminjam bermasalah untuk berunding mengenai penjadualan dan penstrukturan hutang.

“Namun, jika semua usaha ini masih culas, sengaja tidak mahu membayar walaupun berkemampuan, bahkan boleh pula memperagakan kemewahan di media sosial, Mara tidak teragak-agak mengambil tindakan perundangan.

“Tindakan perundangan adalah jalan terakhir untuk memastikan setiap sen wang rakyat dapat dikutip semula untuk manfaat orang lain pula,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.