Titah adendum Najib tak bangkit ketika mesyuarat, kata PM

Titah adendum Najib tak bangkit ketika mesyuarat, kata PM

Anwar Ibrahim berkata perintah dikatakan itu tidak berada dalam agenda mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dihadirinya pada 8 Dis 2023.

najib razak
Bekas perdana menteri, Najib Razak mendakwa Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mengeluarkan titah adendum untuk menjalani baki hukuman penjara dalam tahanan rumah. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Adendum tahanan rumah ke atas Najib Razak bagi menjalani baki hukuman penjara tidak dibangkitkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, pada 8 Dis 2023, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar ketika memberitahu Dewan Rakyat, berkata permohonan pengampunan diraja Najib itu pada asalnya tidak berada dalam agenda mesyuarat.

“Dia tidak termasuk dalam agenda. Tuanku Yang di-Pertuan Agong pada ketika itu tidak memasukkan agenda permohonan pengampunan Datuk Seri Najib dalam pertimbangan Lembaga Pengampunan.

“Jadi untuk rekod, saya persembahkan kepada Tuanku, atas alasan semua rakyat atau banduan berhak membuat permohonan dan kerana kedudukan Datuk Seri Najib adalah munasabah kalau diberi pertimbangan,” katanya.

Anwar menjawab soalan dibangkitkan Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berkait penjelasan sama ada perintah adendum itu wujud.

Pada 5 Dis lalu, bekas Ahli Parlimen Pekan itu memfailkan permohonan mengemukakan bukti baharu di Mahkamah Rayuan bagi membuktikan wujudnya perintah tambahan yang membenarkannya menjalani baki tempoh penjaranya di bawah tahanan rumah.

Namun, tarikh pendengaran rayuan itu ditetapkan 6 Jan.

Bekas presiden Umno itu bergantung kepada bukti baharu untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan prosiding semakan kehakiman agar kerajaan melaksanakan titah diraja yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Dokumen mahkamah dilihat FMT mendapati permohonan Najib itu termasuk afidavit ditandatangani anaknya, Nizar, yang juga exco Pahang.

Anwar turut menekankan, penglibatannya juga terbatas dalam mesyuarat pada 8 Dis tahun lalu.

“Pada masa itu, dalam mesyuarat yang saya hadir, tiada langsung bangkit isu kandungan adendum yang dimaksudkan itu. Pada 29 Jan berikutnya, itu memang dihadiri oleh menteri yang bertanggungjawab, iaitu Wilayah Persekutuan dan saya tidak lagi hadir,” katanya.

Pada 2 Feb, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengumumkan hukuman penjara Najib dalam kes SRC International dikurangkan kepada enam tahun berbanding 12 tahun, dan denda dikurangkan kepada RM50 juta berbanding RM210 juta.

Najib sedang menjalani hukuman pemenjaraan di Penjara Kajang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.