
Menegaskan tiada masalah dengan pelantikan itu, Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man berkata partinya juga menghormati kuasa Pengerusi PN Muhyiddin Yassin dalam melantik pimpinan komponen terbabit.
“PAS boleh kerjasama dengan sesiapa sahaja, tak ada isu (pelantikan Azmin),” katanya kepada FMT sambil memberitahu PN kini memberi fokus kepada persiapan menghadapi PRN Sabah dijadualkan tahun depan.
Selain mengesahkan pelantikan Azmin yang juga setiausaha agung Bersatu, mesyuarat pimpinan tertinggi PN semalam juga melantik pemimpin parti itu ke beberapa jawatan susulan keputusan pemilihan parti awal bulan lalu.
Timbalan Presiden Hamzah Zainudin dilantik timbalan pengerusi PN, Naib Presiden Ahmad Faizal Azumu (ketua penerangan PN) manakala Ketua Wanita Bersatu Mas Ermieyati Samsudin mengetuai sayap Wanita komponen terbabit.
Dua lagi Naib Presiden Ronald Kiandee dan Radzi Jidin dilantik anggota majlis tertinggi PN.
Sebelum ini, Ketua Pemuda PAS Mohd Afnan Hamimi Taib Azamudden mencadangkan Takiyuddin dilantik setiausaha agung PN sesuai pengalaman dan senioriti dalam komponen dianggotai Bersatu, PAS, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).
Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu adalah setiausaha agung PAS serta ketua whip PN.