
Hakim Azura Alwi membenarkan permohonan itu selepas peguam Hisyam Teh Poh Teik memaklumkan anak guamnya memohon untuk mendapatkan pasport mulai hari ini hingga 14 Jan depan.
“Mahkamah mendengar serta meneliti segala hujahan kedua-dua pihak. Mahkamah berpuas hati dan memutuskan permohonan pihak pemohon dibenarkan dan pasport perlu dikembalikan kepada mahkamah pada 14 Jan 2025 sepertimana dalam permohonan.
“Mahkamah berpendapat pemohon berhak mendapatkan rawatan perubatan terbaik bagi dirinya dan tiada juga bukti pemohon akan melarikan diri,” kata hakim.
Terdahulu, Hisyam berkata, anak guamnya memohon mendapatkan pasport antarabangsa untuk ke UK bagi menemui Prof Brian Davidson yang berlatarbelakangkan pakar bedah dalam bidang pembedahan hati, saluran hempedu dan pankreas, serta pengurusan kanser.
“Anak guam saya (Muhyiddin) percaya doktor itu mampu memberikan pandangan berhubung keadaannya. Oleh itu, anak guam saya membuat janji temu bersama Prof Brian bagi mendapatkan nasihat serta pendapat doktor berhubung kesihatannya.
“Anak guam saya dijangka bertemu Prof Brian pada 6.30 petang 18 Dis ini di Platinum Medical Centre di London. Pertemuan ini perlu bagi anak guam saya mendapatkan nasihat rawatan yang diperlukan dalam tempoh tersebut.”
Katanya, Muhyiddin baru-baru ini menjalani Imbasan Tomografi Pancaran Positron (PET Scan) untuk memantau keadaan kanser pankreasnya dan dimaklumkan bacaan penanda tumor CA 19-9 Muhyiddin menunjukkan sedikit peningkatan melebihi paras normal.
“Walaupun masih dalam keadaan peredaan, peningkatan bacaan penanda tumor CA 19-9 beliau sedikit sebanyak mendatangkan kekhuatiran terhadapnya.”
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Mahadi Jumaat membantah permohonan Muhyiddin mendapatkan pandangan kedua berkaitan rawatan kanser itu kerana di Malaysia juga mempunyai pakar, perunding dan fasiliti mencukupi untuk pemohon mendapatkan rawatan.
“Bagi alasan permohonan kedua pemohon (Muhyiddin) untuk melawat keluarga dan anak-anaknya di UK, ini bukan alasan mendesak, tetapi lebih bersifat peribadi,” katanya yang mengendalikan kes itu bersama TPR Noralis Mat dan Zander Lim Wai Keong.
Sementara itu, hakim turut menetapkan 16 Jan depan untuk keputusan permohonan pendakwaan supaya empat pertuduhan menggunakan kedudukan dan tiga pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram dihadapi Muhyiddin dibicarakan bersama.
Pada 11 Sept lalu, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Muhyiddin bagi menyemak keputusan mahkamah itu sebelum ini yang mengembalikan empat pertuduhan salah guna kuasa membabitkan RM232.5 juta terhadapnya.
Muhyiddin, 77, sebagai perdana menteri (ketika itu) dan presiden Bersatu, didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat, iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Azman Yusoff, bagi parti berkenaan.
Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
Muhyiddin turut berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di sini antara 25 Feb dan 16 Julai 2021 serta 8 Feb dan 8 Julai 2022.
Beliau juga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 13 Mac 2023 atas satu pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan bersama.