
LHDN dalam kenyataan hari ini memaklumkan jumlah itu membabitkan 175,656 individu mempunyai tunggakan bawah Seksyen 104 Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 dan 12,205 individu mempunyai tunggakan cukai bawah Seksyen 22 Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah (ACKHT) 1976.
“Menurut Seksyen 104 dan 75A ACP 1967 serta Seksyen 22 ACKHT 1976, LHDN diberi kuasa menghalang mana-mana individu meninggalkan Malaysia, jika mereka atau syarikat mereka mempunyai tunggakan cukai tidak dijelaskan kepada kerajaan.
“Sekatan perjalanan merupakan tindakan terakhir boleh dikenakan sekiranya pembayar cukai masih gagal membuat bayaran baki cukai tertunggak (individu dan syarikat) selepas pelbagai peringatan dan notis diberikan.”
Jelasnya, sekatan perjalanan ke luar negara terhadap mana-mana pihak bukan bertujuan menafikan hak mereka, tetapi untuk menguatkuasakan undang-undang percukaian sedia ada kepada pembayar cukai gagal melunaskan tunggakan cukai.
Oleh itu, LHDN menasihatkan pembayar cukai sentiasa peka melaksanakan tanggungjawab setiap masa dan tidak menangguhkan penyelesaian hal percukaian bagi mengelakkan sebarang kesulitan kelak.
“Justeru, LHDN ingin menasihatkan semua pembayar cukai ingin ke luar negara untuk menyemak status tunggakan cukai masing-masing terlebih dahulu menerusi portal MyTax yang boleh dicapai di https://mytax.hasil.gov.my/.
“Selain itu, semakan sekatan perjalanan ke luar negara boleh dilakukan menerusi portal rasmi Jabatan Imigresen di https://sspi.imi.gov.my/sspi/.”
Kenyataan itu turut memaklumkan mulai 4 Mac lalu, permohonan pembatalan sekatan perjalanan boleh dibuat dalam talian menerusi perkhidmatan e-Sekatan Perjalanan yang boleh diakses menerusi portal MyTax.
Permohonan pembatalan sekatan perjalanan juga boleh dilakukan dengan prosedur dan saluran sedia ada dengan menghubungi Hasil Contact Centre di talian 03-8911 1000 atau ke pejabat LHDN berhampiran.
Maklumat lanjut berkaitan e-Sekatan Perjalanan boleh dirujuk pada soalan lazim permohonan pembatalan sekatan perjalanan menerusi https://www.hasil.gov.my/individu/lain-lain/soalan-lazim-individu/.
“Seiring trend terkini masyarakat Malaysia yang gemar melancong ke luar negara atau mengerjakan ibadah, LHDN ingin menyarankan semua pembayar cukai menyemak status tunggakan cukai dan sekatan perjalanan masing-masing sebelum merancang sebarang perjalanan ke luar negara.”