Kerajaan akan batal komitmen beberapa syarikat, cari ubat generik lebih murah

Kerajaan akan batal komitmen beberapa syarikat, cari ubat generik lebih murah

Anwar Ibrahim berkata tiada kawalan terhadap harga ubat-ubatan pada masa ini selain berlaku monopoli sejak puluhan tahun lalu.

Kerajaan mengarahkan KKM menjelajah ke negara lain untuk mendapatkan ubat generik yang lebih murah dan berpatutan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan akan membatalkan komitmen dengan beberapa syarikat dalam pembekalan ubat-ubatan bagi mengurangkan kos perubatan yang semakin meningkat, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata pada masa sama Kementerian Kesihatan (KKM) diarahkan menjelajah ke negara lain untuk mendapatkan ubat generik yang lebih murah dan berpatutan.

Menurutnya, keputusan itu diambil selepas mengambil kira tiada kawalan terhadap harga ubat-ubatan pada masa ini selain wujud monopoli berlaku puluhan tahun.,

Anwar Ibrahim.

“Kami akan batalkan beberapa komitmen kepada satu hingga dua syarikat dan minta KKM seperti mana beberapa negara lakukan untuk menjelajah ke beberapa negara.

“Ubat generik ini lebih terkenal di Brazil, India dan China umpamanya yang dikaji dan tidak semestinya terikat dari Amerika Syarikat atau Eropah yang kosnya terlalu tinggi,” katanya pada waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) berhubung langkah kerajaan mengatasi inflasi kos perubatan negara sebanyak 12.6% tahun 2023, iaitu lebih dua kali ganda berbanding purata global 5.6%.

Sementara itu, Anwar berkata penyelarasan sedang dilakukan KKM bersama Bank Negara bagi memastikan kenaikan premium insurans perubatan itu munasabah dan tidak membebankan pengguna.

“Kami sedang meneliti dan akan mengeluarkan panduan yang agak tegas supaya syarikat insurans dan pengendali takaful (ITO) mengambil kira beberapa hal.

“Kenaikan ini adalah bersandarkan threshold (nilai ambang) yang lebih rendah di Malaysia dan kos perubahan dan perkhidmatan yang tinggi. Itu penjelasan daripada syarikat insurans,” katanya.

Sebelum ini Kementerian Kewangan memaklumkan pihaknya dalam proses rundingan dengan pihak berkaitan berhubung kenaikan premium insurans perubatan antara 40% dan 70%.

Pada 28 Nov lalu, BNM mengarahkan ITO menyemak strategi penentuan semula harga insurans perubatan serta kesihatan (MHIT) untuk memastikan ia lebih wajar.

Ia termasuk menguruskan kenaikan premium atau sumbangan dengan mengambil kira impak terhadap pemegang polisi takaful.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.