Dewan Rakyat lulus pindaan Kanun Keseksaan tangani buli siber

Dewan Rakyat lulus pindaan Kanun Keseksaan tangani buli siber

RUU dibentang Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said lulus dengan lebih suara bersetuju.

Dewan Rakyat meluluskan RUU bagi mengatasi kelompangan dalam Kanun Keseksaan yang tidak mempunyai peruntukan khusus berhubung buli dan buli siber.
KUALA LUMPUR:
Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Kanun Keseksaan (Pindaan) (No 2) 2024 antaranya bertujuan menangani secara khusus isu buli termasuk dalam talian.

RUU dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said diluluskan dengan lebih suara bersetuju.

Azalina ketika menggulung perbahasan RUU itu berkata, pindaan berkenaan tidak bertujuan menyekat kebebasan bersuara tetapi berfungsi sebagai mekanisme mencegah gangguan dan melindungi masyarakat terutama kanak-kanak.

“Pindaan ini bukan sekadar untuk menghukum tetapi juga mendidik, melindungi dan mencegah, dan ia langkah penting ke arah membina sebuah masyarakat yang lebih beradab dan menghormati maruah setiap individu,” katanya.

Melalui pindaan itu, katanya kerajaan memberikan beberapa pendekatan supaya kelompangan undang-undang dapat diatasi, antaranya Kanun Keseksaan (Akta 574) yang tidak mempunyai peruntukan khusus berhubung buli dan buli siber.

RUU itu antara lain mencadangkan subseksyen baharu 507D (2) bertujuan menjadikan suatu kesalahan bagi mana-mana orang dalam apa-apa cara yang menggunakan perkataan atau komunikasi mengugut, menghina atau mencela dengan niat memprovokasi seseorang dan menyebabkan kemudaratan kepada dirinya atau kepada orang lain.

Subseksyen itu memperuntukkan hukuman pemenjaraan bagi suatu tempoh yang boleh dilanjutkan hingga setahun atau denda atau kedua-duanya.

Subseksyen itu juga memperuntukkan bahawa jika orang diprovokasi cuba membunuh diri atau membunuh diri akibat provokasi itu, hukuman bagi kesalahan dicadangkan ialah pemenjaraan bagi suatu tempoh yang boleh dilanjutkan hingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sementara itu, Dewan Rakyat turut meluluskan RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No 2) 2024 yang bertujuan memastikan keselarasan dengan pindaan Kanun Keseksaan.

Ia antara lain memperuntukkan kesalahan penetapan berkaitan keperluan waran tangkap, tempoh pengeluaran waran atau saman, ketetapan kesalahan boleh dijamin atau tidak, ketetapan kompaun dan hukuman maksimum bagi setiap kesalahan berkait jenayah buli.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.