Tiada kesan brek di lokasi nahas Zaharif, kata saksi

Tiada kesan brek di lokasi nahas Zaharif, kata saksi

Saksi pendakwaan ke-29 Jong Pit Chao memberitahu mahkamah, terdapat kesan seretan seakan-akan koyakan fabrik hitam selain serpihan komponen kenderaan dan nombor pendaftaran belakang motosikal.

Mohd Nazri Abdul Razak
Mohd Nazri Abdul Razak didakwa membunuh remaja, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie berhampiran SMK Jati, Ipoh pada 15 Dis 2023. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi Ipoh yang mendengar perbicaraan kes bunuh Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, hari ini diberitahu bahawa hasil pemeriksaan mendapati tiada kesan brek di lokasi nahas membabitkan kereta jenis Ativa dan sebuah motosikal jenis Yamaha LC pada 15 Dis lepas.

Saksi pendakwaan ke-29 Jong Pit Chao, 37, berkata bagaimanapun, terdapat kesan seretan seakan-akan koyakan fabrik hitam di lokasi kejadian selain serpihan komponen kenderaan dan nombor pendaftaran belakang motosikal, alat tulis, rantai tangan berwarna perak serta kesan dakwat biru.

“Saya kemudian membuat lakaran rajah kasar tempat kejadian dan mengarahkan Koperal Shahiran Mohamad untuk mengambil gambar,” katanya menurut laporan Bernama.

Menurutnya, ketika itu, beliau bertugas sebagai Pegawai Penyiasat Trafik Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh.

Beliau berkata demikian ketika membaca penyataan saksi di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet.

Jong juga berkata selepas selesai proses bedah siasat, beliau telah menemu duga dan melakukan siasatan awal ke atas pemandu Ativa iaitu Mohd Nazri Abdul Razak, 45, yang juga seorang pegawai kanan polis berpangkat DSP sebelum menahan tertuduh.

Beliau berkata Mohd Nazri ujian air kencing telah dilakukan ke atas tertuduh bagi pengesanan dadah namun keputusannya adalah negatif.

Terdahulu, saksi pendakwaan ke-28 Noor Azlan Zaidin, 38, memaklumkan mahkamah bahawa tiada suntingan dilakukan ke atas rakaman kamera litar tertutup yang dijadikan eksibit dalam kes itu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz sama ada rakaman itu disunting olehnya semasa siasatan.

Afzainizam dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya Nasrul Hadi Abdul Ghani, V. Suloshani dan Low Qin manakala Mohd Nazri diwakili peguam M. Athimulan, Datuk Mior Faridalathrash Wahid serta Aiman Hakim Kamaruzzaman dan Syaheera Rosli bertindak sebagai peguam pemerhati.

Mohd Nazri didakwa membunuh Muhammad Zaharif Affendi di Jalan Taman Jati 1 berhampiran SMK Jati, Ipoh, antara 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari 15 Dis 2023.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun dan sebatan minimum 12 kali, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.