
Panel tiga hakim diketuai Ahmad Zaidi Ibrahim bersama Azman Abdullah dan Azmi Ariffin menolak rayuan akhir Abu Bakar terhadap sabitan serta hukumannya.
Mahkamah mengeluarkan waran komital bagi membolehkan Abu Bakar memulakan hukuman penjara serta-merta.
Sebelum ini, beliau dibebaskan dengan ikat jamin RM45,000 dan seorang penjamin sementara menunggu keputusan rayuannya.
Sebelum ini, lelaki 74 tahun itu dijatuhi hukuman penjara 26 bulan dan denda RM133,326.40 oleh Mahkamah Sesyen pada 2018, selepas didapati bersalah menerima rasuah berupa penginapan hotel dan wang tunai RM20,000 daripada seorang pemilik syarikat antara 2014 dan 2015.
Rayuannya ke Mahkamah Tinggi ditolak pada 2022, yang mendorongnya membawa kes tersebut ke Mahkamah Rayuan.
Abu Bakar bagaimanapun menjelaskan denda tersebut.
Dalam prosiding hari ini, Azmi ketika membacakan keputusan sebulat suara panel hakim berkata, rayuan Abu Bakar tiada merit dan keterangan terhadap perayu kukuh serta tidak dapat dipertikaikan.
Beliau juga memutuskan keterangan dua saksi pihak pendakwaan boleh dipercayai dan mereka bukan rakan sejenayah seperti dihujahkan pihak pembelaan.
Mahkamah turut menolak permohonan Abu Bakar agar hukuman penjara berjalan serentak, sekali gus mengesahkan dia akan menjalani hukuman penjara selama 26 bulan secara berturutan seperti diputuskan Mahkamah Sesyen sebelum ini.
Pada 23 Nov 2018, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara dua bulan dan denda RM10,486.40 ke atas Abu Bakar kerana menerima rasuah berupa penginapan hotel daripada Mazlan Jamalludin sebagai dorongan melantik syarikatnya, Warna Gergasi Sdn Bhd melaksanakan kerja kontrak di kawasan Empangan Batu.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah hotel di Pantai Bagan Lalang, Sungai Pelek, Sepang antara 28 Nov 2014 hingga 30 Nov 2014.
Abu Bakar turut dijatuhkan hukuman penjara empat bulan dan denda RM22,840 kerana menerima rasuah berupa penginapan hotel daripada Mazlan sebagai balasan mengekalkan kontrak tersebut. Kesalahan itu dilakukan di sebuah hotel di Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan antara 12 Jun 2015 hingga 14 Jun 2015.
Selain itu, dia dihukum penjara 20 bulan dan denda RM100,000 kerana menerima wang tunai RM20,000 daripada Mazlan untuk tidak mengganggu dan mengekalkan kontrak tersebut. Kesalahan itu dilakukan di hotel sama di Port Dickson pada 14 Jun 2015.
Dalam kes berkaitan, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara 42 bulan dan denda RM222,500 ke atas bekas pelukis pelan di jabatan itu, Mohd Nasir Mohd Isa, 53, kerana menerima suapan berbentuk penginapan hotel dan wang tunai RM40,500 daripada pemilik syarikat sama.
Dalam prosiding rayuan hari ini, Abu Bakar diwakili peguam Ainur Azalia Ayoub, manakala pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Noralis Mat dan Muhammad Asraf Mohamed Tahir.