
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Razali Kassim, berkata operasi itu dihentikan kerana Rapid Kuantan tidak memasuki tender terbuka Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti 2.0 (SBST 2.0) mulai 2025 hingga 2030, yang dibentangkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
“Tidak ada sebab politik, ini tender terbuka. Rapid tidak masuk tender, alasannya kos yang ada sekarang tidak boleh nak tampung (operasi),” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara Universiti Kolej Yayasan Pahang dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam merealisasikan projek sekuriti makanan di kampus utama universiti itu, di sini.
Media sebelum ini melaporkan kerajaan negeri mengadakan perbincangan bersama Rapid Kuantan dan APAD pada 8 Okt lepas untuk mendapatkan penjelasan mengenai operasi bas di Kuantan.
Razali berkata, kerajaan negeri dimaklumkan APAD bahawa syarikat baharu yang akan menggantikan Rapid Kuantan dijangka beroperasi Mei depan.
Katanya, operator baharu bakal dilantik itu akan menyediakan perkhidmatan merangkumi 16 laluan, selain perlu menyediakan pas bulanan (RM50) tanpa had dan kad konsesi untuk orang kurang upaya, pelajar serta warga emas dengan kos pendaftaran RM10 sekali bayar.