NGO dakwa Fama gagal kawal harga sayur naik mendadak

NGO dakwa Fama gagal kawal harga sayur naik mendadak

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dakwa telah menyuarakan kebimbangan namun diabaikan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama).

wet market
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dakwa harga sayur di pasaran naik di antara lebih sekali ganda pada musim tengkujuh kini.
PETALING JAYA:
Sebuah persatuan pengguna mempersoalkan peranan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) yang didakwa gagal mengawal kenaikan mendadak harga sayur-sayuran dan buah-buahan dalam tempoh dua minggu.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) Mohideen Abdul Kader berkata pihaknya telah menyuarakan kebimbangan itu namun telah diabaikan oleh agensi bertanggungjawab dalam pengedaran dan pemasaran produk pertanian.

“Kenaikan harga mendadak ini telah dikaitkan dengan kekurangan barangan disebabkan musim hujan baru-baru ini. Peniaga telah diberi amaran bahawa harga sayur-sayuran dan buah-buahan boleh meningkat lagi.

“Memandangkan musim hujan belum reda, Malaysia sepatutnya menghentikan eksport ikan dan sayur-sayuran ke negara lain dan mengutamakan permintaan tempatan sehingga musim hujan berakhir,” katanya dalam kenyataan.

CAP mendakwa harga bendi naik daripada RM7.00 kepada RM12.50, kacang panjang (RM8.00 ke RM20) dan sawi (RM6 ke RM12) dan cili merah (RM8 kepada RM18).

Justeru, Mohideen menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama Fama mengambil tindakan segera bagi menangani kenaikan harga sayur-sayuran dan buah-buahan tempatan.

Menurutnya, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) perlu meningkatkan kecekapan pengedaran makanan, mengurangkan peranan orang tengah, mewujudkan pasaran langsung, dan menambah baik rantaian bekalan yang semuanya ini boleh membantu mengurangkan kos.

“Kerajaan juga perlu menyokong petani melalui subsidi disasarkan, program latihan agroekologi dan bantuan kewangan yang boleh meningkatkan pengeluaran dengan ketara serta membantu mengurangkan harga,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.