Kerjasama pembangkang, parti Demokrat AS tumbangkan kerajaan saya, kata Najib

Kerjasama pembangkang, parti Demokrat AS tumbangkan kerajaan saya, kata Najib

Najib Razak berkata kerjasama itu membawa kepada penyitaan sivil USD1 bilion dan DoJ enggan menyerahkan bukti yang memberi kelebihan kepada pembelaannya.

Najib Razak
Najib Razak berdepan 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dana 1MDB bernilai RM2.28 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Feb 2011 dan Dis 2014.
KUALA LUMPUR:
Bekas perdana menteri Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Parti Demokrat Amerika Syarikat (AS) bekerjasama dengan pembangkang Malaysia ketika itu untuk menjatuhkan kerajaannya.

Ketika memberi keterangan dalam perbicaraan kes 1MDB, Najib berkata kerjasama itu membawa kepada tindakan penyitaan sivil oleh Jabatan Kehakiman AS (DoJ) pada 2016 bagi mendapatkan semula aset bernilai lebih USD1 bilion yang dikaitkan dengan 1MDB.

Beliau berkata ia menyebabkan pihak berkuasa AS enggan memberikan dokumen penting yang dapat membantu pembelaannya dalam kes ini.

Katanya, DoJ mahu melindungi ‘bukti pelepasan’ kerana ia akan menafikan secara langsung tuduhan yang dikemukakan dalam saman lucut hak sivil yang difailkan pada 2016.

“Saya juga percaya tindakan lucut hak ini bermotifkan politik dan dirancang sebagai sebahagian daripada kerjasama antara Parti Demokrat AS dan parti pembangkang ketika itu untuk menukar rejim di Malaysia.

“Saya percaya kerjasama ini merupakan motif utama menghalang akses saya kepada bukti pelepasan kerana ia akan melemahkan naratif mereka dan mendedahkan kesalahan tuduhan terhadap saya,” katanya kepada mahkamah.

Pada Julai 2016, peguam negara AS ketika itu, Loretta Lynch, mengumumkan memfailkan aduan lucut hak sivil di AS untuk mendapatkan semula lebih USD1 bilion aset yang didakwa dilaburkan secara haram melalui AS dan dikesan kepada 1MDB.

Menurut aduan tersebut, lebih USD3.5 bilion dana milik 1MDB didakwa diselewengkan antara 2009 dan 2015 oleh pegawai tinggi 1MDB dan rakan sekutu mereka.

Pakatan Harapan, merupakan gabungan pembangkang pada 2016 dan kini menerajui kerajaan perpaduan.

Jumaat lalu, Najib memberi keterangan bahawa beliau memfailkan permohonan penemuan dokumen pada 2021 di Mahkamah daerah untuk selatan New York bagi mendapatkan dokumen yang digunakan dalam perbicaraan kes 1MDB membabitkan bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng.

Ng dijatuhi hukuman penjara 10 tahun atas kesalahan rasuah tahun lalu.

Najib berkata semasa perbicaraan Ng di New York, didedahkan bahawa Goldman Sachs dan bekas ketua bank pelaburan itu bagi Asia Tenggara, Timothy Leissner, memiliki ‘bukti pelepasan’ yang boleh memihak kepadanya dalam kes di Malaysia.

Bagaimanapun, permohonan tersebut ditolak oleh pendakwa raya AS dan Ng pada April, menyebabkan Najib gagal mendapatkan akses kepada bukti yang didakwanya dapat membersihkan namanya.

Najib berkata DoJ berhujah bahawa membenarkan permohonannya berpotensi menjejaskan strategi pendakwaan dan kerahsiaan saksi serta bukti yang berkaitan dengan kes 1MDB.

“Paling penting, DoJ mengesahkan kewujudan bukti pelepasan seperti yang dirujuk oleh peguam Ng, tetapi DoJ bertegas bahawa dengan memberikan saya akses kepada bukti pelepasan ini akan melemahkan siasatan dan pendakwaan yang sedang berlangsung,” katanya.

Najib dibicarakan atas 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB bernilai RM2.28 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Feb 2011 dan Dis 2014.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.