20 pemilik kenderaan tenggelam banjir di Putrajaya terima bantuan RM1,000

20 pemilik kenderaan tenggelam banjir di Putrajaya terima bantuan RM1,000

Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa umum perkara itu selepas tinjau kawasan yang menempatkan kira-kira 2,500 kediaman.

Flash flood in Putrajaya
Menteri WP Dr Zaliha Mustafa hari ini umum bantuan untuk pemilik kenderaan ditenggelami air di Presint 11, Putrajaya semalam, serta beberapa langkah segera lain ekoran banjir. (Gambar X)
PETALING JAYA:
Dua puluh pemilik kenderaan yang terkesan dalam banjir kilat di Presint 11, Putrajaya semalam menerima bantuan kewangan RM1,000 setiap seorang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa mengumumkan perkara itu selepas membuat tinjauan di kawasan perumahan yang menempatkan kira-kira 2,500 kediaman petang tadi.

“Kawasan perumahan ini agak besar. Ada kira-kira 2,500 rumah, dengan anggaran penduduk sekitar 10,000 orang.

“Sehubungan itu, hari ini selepas selesai urusan di Parlimen dan DBKL, saya terus ke Presint 11 untuk melihat sendiri kawasan yang tersebut.

“Sehubungan itu, saya ingin maklumkan bantuan kewangan berjumlah RM 1,000 kepada 20 pemilik kenderaan yang ditenggelami air semalam,” katanya di Facebook.

Menurutnya, banjir kilat dengan kedalaman 1m itu berlaku disebabkan taburan hujan yang tinggi, iaitu tiga kali ganda dari taburan hujan biasa.

Paras air mulai surut 15 minit kemudian, katanya.

“Kita telah mengenal pasti punca banjir iaitu kerana hujan lebat di bahagian hulu dan air naik dari Sungai Anak Gajah menyebabkan aliran air tersekat, mengakibatkan air tersebut ‘overflow’ di kawasan lebih rendah,” katanya.

Zaliha telah mengarahkan Perbadanan Putrajaya untuk membina parkir sementara yang memuatkan kira-kira 200 kenderaan, yang akan selesai dalam tempoh dua minggu, selain pemasangan sistem siren dan amaran untuk penduduk alihkan kenderaan dengan segera.

Beliau juga meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melihat sistem saliran di kawasan berkenaan yang menggunakan ‘sistem culvert’ sama ada masih sesuai untuk menampung kapasiti hujan yang terlalu banyak.

“Jika didapati memang tidak dapat menampung, kita akan ambil tindakan menambahbaik bagi mengelakkan perkara sama berulang.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.