Wong Chen seru isytihar aset kepada umum, bukan kerajaan semata-mata

Wong Chen seru isytihar aset kepada umum, bukan kerajaan semata-mata

Ahli Parlimen Subang berkata arahan itu perlu dikenakan khususnya kepada penjawat awam kanan.

Ahli Parlimen Subang Wong Chen berkata aset diisytihar perlu diaudit badan audit bebas.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Subang Wong Chen menjelaskan seruan supaya penjawat awam diwajibkan isytihar aset merujuk kepada ‘pengisytiharan umum’, bukan hanya kepada kerajaan.

Beliau berkata demikian mengulas maklum balas Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), di mana penjawat awam sememangnya diwajibkan mengisytiharkan aset setiap lima tahun.

“Sebagai tambahan, pengisytiharan aset penjawat awam kanan itu perlu diaudit oleh badan bebas, seperti ketua audit negara (Jabatan Audit Negara) atau seumpamanya,” katanya di Instagram.

Wong berkata, apa diperkatakannya bukan perkara baru memandangkan kerajaan Madani sedang memuktamadkan sistem baharu pengisytiharan aset yang lebih baik.

“Saya hanya mengingatkan kerajaan saya sendiri untuk memuktamad dan melaksanakannya.

“Jika, pengisytiharan aset kepada umum untuk ahli politik kurang mendapat sokongan ketika ini, tetapi sekurang-kurangnya ia boleh dibuat ke atas penjawat awam kanan.

“Peringatan kepada saudara senegara saya yang mengalami kehilangan ingatan jangka pendek yang ekstrem – skandal 1MDB berlaku kerana kegagalan sistemik melibatkan ahli politik dan pegawai kanan kerajaan.”

Semalam, Wong menyeru Putrajaya mewajibkan pengisytiharan aset bagi wakil rakyat, meskipun mengesyaki parti komponen lain dalam kerajaan mungkin tiada kemahuan untuk berbuat demikian.

Wong berkata, hakim dan penjawat awam, termasuk ketua setiausaha kementerian dan timbalannya, sepatutnya dikehendaki isytihar aset bagi mengukuhkan ketelusan dan menimbulkan keyakinan dalam pentadbiran.

Bagaimanapun, Cuepacs berkata, penjawat awam memang diperlukan isytihar aset mereka, amalan yang kekal berterusan bawah Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Setiausaha Agung Abdul Rahman Nordin, berkata bahagian undang-undang setiap agensi akan memantau proses pengisytiharan itu.

Pada Jun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, berkata format baharu pengisytiharan aset belum lagi dimuktamad, namun menjangkakan versi kemas kini akan dibentang kepada Jemaah Menteri ‘tidak lama’ lagi.

Namun, sehingga kini tiada perkembangan dimaklumkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.