Polis buka kertas siasatan kes panggilan palsu ketika banjir

Polis buka kertas siasatan kes panggilan palsu ketika banjir

Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay berkata siasatan dibuat mengikut Seksyen Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

ayob
Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay berkata tindakan itu bagi memberi pengajaran kepada individu yang membuat panggilan palsu hingga menyusahkan pasukan keselamatan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis akan membuka kertas siasatan terhadap kes panggilan palsu berkaitan banjir ketika pihak berkuasa berhempas pulas menjalankan operasi menyelamat ketika gelombang pertama baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kertas siasatan terhadap individu yang membuat panggilan palsu itu dibuka mengikut Seksyen Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, lapor Harian Metro.

“Seksyen berkenaan memperuntukkan denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya sekali.

“Buat masa ini kita fokus kepada banjir dahulu dan selepas ini kita akan membuka kertas siasatan berkaitan laporan palsu itu,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, sebanyak 114 panggilan palsu diterima oleh IPD Pasir Mas berkaitan banjir ketika gelombang pertama.

Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat dilaporkan berkata, selepas petugas diatur gerak ke lokasi sebagaimana dilaporkan, pihaknya mendapati tiada rumah di lokasi berkenaan.

Ayob berkata panggilan palsu turut diterima di negeri-negeri yang dilanda banjir baru-baru ini.

“Perbuatan itu menyusahkan pasukan keselamatan kerana apabila kita ke lokasi, ia tiada sebagaimana dakwaan.

“Tindakan yang diambil ini juga supaya menjadi pengajaran kepada mereka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.