
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Abdul Rahman Mohd Nordin, berkata bahagian undang-undang setiap agensi akan memantau proses pengisytiharan itu.
“Kita akan hantar surat amaran pertama, kedua jika mereka gagal berbuat demikian,” katanya kepada FMT.
Semalam, Ahli Parlimen Subang daripada PKR Wong Chen menggesa Putrajaya mewajibkan pengisytiharan aset bagi wakil rakyat.
Malah, beliau menyarankan hakim dan anggota perkhidmatan awam, termasuk ketua setiausaha kementerian dan timbalan masing-masing, dikehendaki mengisytiharkan harta bagi meningkatkan ketelusan dan memupuk keyakinan.
Mengulas lanjut, Rahman setuju dengan saranan supaya pengisytiharan turut diwajibkan ke atas wakil rakyat.
“Baru ada ketelusan dan mengelak fitnah. Kalau tak isytihar harta tapi ada banglo besar…tapi gaji kecil boleh timbulkan rasa pelik,” katanya.
Kerajaan sebelum ini ada menyatakan hasrat untuk memperkenalkan pengisytiharan aset bagi Ahli Parlimen dan pegawai pentadbiran.
Pada Mac, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) M Kulasegaran berkata format pengisytiharan telah dimuktamadkan dan sedia untuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk kelulusan. Bagaimanapun sejak itu, tiada perkembangan terkini mengenainya.