42 rakyat Malaysia selamat di Syria

42 rakyat Malaysia selamat di Syria

Kementerian Luar Negeri secara berterusan berhubung dengan 37 pelajar dan lima rakyat Malaysia di negara itu.

Hari ini, pemberontak Syria berkata, mereka berjaya menamatkan pemerintahan autoritarian Bashar al-Assad selama 24 tahun. (Gambar EPA Images)
PETALING JAYA:
Malaysia memantau rapat perkembangan situasi di Syria serta potensi implikasinya terhadap kestabilan serantau.

Kementerian Luar Negeri memaklumkan pihaknya melalui Konsul Kehormat Malaysia di Syria sedang berhubung secara berterusan dengan rakyat Malaysia di negara itu.

“Setakat ini, semua 37 pelajar Malaysia dan lima rakyat Malaysia lain yang berdaftar di negara itu dilaporkan selamat,” menurutnya dalam kenyataan.

Kementerian Luar Negeri menyatakan pihaknya akan terus memantau dengan rapat keadaan dan memberikan maklumat terkini untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia.

Rakyat Malaysia di rantau itu juga digalakkan untuk mendaftar melalui E-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my bagi menerima maklumat terkini dan bantuan jika diperlukan.

Kementerian itu turut memaklumkan bahawa rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular, mereka diminta menghubungi Konsul Kehormat Malaysia di Syria atau Kedutaan Besar Malaysia di Amman.

Konsul Kehormat Malaysia di Syria boleh dihubungi melalui talian +963933245555 atau e-mel [email protected].

Kedutaan Besar Malaysia di Amman pula boleh dihubungi melalui talian +962 6 5902400 / +96265934343 atau e-mel [email protected].

Hari ini, pemberontak Syria berkata, mereka berjaya menamatkan pemerintahan autoritarian Bashar al-Assad selama 24 tahun, dalam pengumuman pertama di stesen televisyen negara itu berikutan serangan kilat yang mengejutkan banyak pihak, lapor Reuters.

Namun, tentera Syria kemudian berkata, pihaknya meneruskan operasi menentang “kumpulan pengganas” di beberapa bandar utama di Hama dan Homs, serta kawasan luar bandar di Deraa.

Terdahulu, Assad dilaporkan meninggalkan Damsyik ke lokasi tidak diketahui dengan pemberontak memasuki ibu negara tanpa kelibat tentera.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.