Polis siasat dakwaan penyanyi rap dirakam ketika hanya bertuala

Polis siasat dakwaan penyanyi rap dirakam ketika hanya bertuala

Ketua Polis Subang Jaya Wan Azlan Wan Mamat berkata, seorang pegawai MBSJ turut membuat laporan mengenai kejadian itu.

zamaeraaa
Penyanyi rap tempatan Zamaera menuduh anggota penguat kuasa MBSJ merakamnya ketika dia hanya bertuala di sebuah pusat urut. (Gambar Instagram)
PETALING JAYA:
Polis sedang menyiasat dakwaan seorang pegawai Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) merakam penyanyi rap wanita tempatan ketika beliau tidak berpakaian di sebuah pusat urut di SS14.

Ketua Polis Subang Jaya Wan Azlan Wan Mamat berkata, pegawai MBSJ itu telah memfailkan laporan berhubung kejadian itu.

Menurutnya, pegawai itu melaporkan pasukan yang memeriksa pusat urut itu diarah merakam video dan mengambil gambar sebagai bukti operasi perniagaan dan untuk mengesahkan pematuhan syarat pelesenan.

“Hasil pemeriksaan, premis tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah daripada MBSJ dan menyalahi undang-undang bawah Undang-Undang Kecil Pusat Kecantikan dan Perniagaan Kesihatan 2013,” kata Wan Azlan dalam kenyataan.

Beliau berkata, pegawai itu turut melaporkan pasukannya diprovokasi oleh wanita itu yang enggan bekerjasama apabila diminta kad pengenalan, selain ‘mempertikaikan tindakan dokumentasi oleh pihak serbuan’.

Katanya, pegawai itu menegaskan bahawa pasukannya mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ketika menjalankan pemeriksaan.

Khamis lepas, penyanyi rap tempatan Sharifah Zamaera Al Edros Syed Zafilen membuat beberapa hantaran di platform media sosial X menuduh anggota penguat kuasa merakam videonya ketika beliau hanya bertuala.

Zamaera berkata, beliau berada di dalam sebuah bilik di pusat urut Chiang Thai apabila beberapa lelaki dipercayai anggota penguat kuasa MBSJ memasuki premis itu.

Dakwanya, apabila didesak, anggota penguat kuasa yang dikatakan merakamnya berkata, tindakannya merupakan sebahagian SOP MBSJ.

Anggota itu kemudian menafikan merakam Zamaera dan berkata tiada video sedemikian, walaupun beliau nampak anggota itu merakamnya.

Difahamkan Zamaera turut membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Wan Azlan berkata, polis akan menjalankan siasatan menyeluruh berdasarkan dua laporan itu bawah Seksyen 186 dan 509 Kanun Keseksaan serta bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.