PM umum peruntukan RM50 juta sokong Penang Silicon Design

PM umum peruntukan RM50 juta sokong Penang Silicon Design

Anwar Ibrahim mengumumkan perkara itu pada pelancaran Pusat Penyelidikan dan Inkubasi Silikon di Bayan Lepas hari ini.

DATUK SERI ANWAR IBRAHIM
Perdana Menteri Anwar Ibrahim melawat pameran sempena pelancaran Pusat Penyelidikan dan Inkubasi Silikon di Bayan Lepas hari ini. Turut hadir, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sebanyak RM50 juta diperuntukkan bagi Penang Silicon Design @5km+ yang bertujuan memacu pertumbuhan ekonomi melalui pembangunan industri reka bentuk litar bersepadu (IC) di negeri itu.

Anwar yang juga menteri kewangan membuat pengumuman itu pada pelancaran GBS TechSpace sebagai Pusat Penyelidikan dan Inkubasi Silikon, komponen utama inisiatif itu, di sebuah hotel di Bayan Lepas hari ini, lapor Bernama.

Pada acara itu juga, memorandum persefahaman (MoU) dimeterai antara InvestPenang, rakan kongsi strategik dan penerima insentif Penang Silicon Design @5km+, serta pelabur baharu untuk inisiatif itu diumumkan.

Antara matlamat lain inisiatif ini termasuk meletakkan Pulau Pinang sebagai hab global terkemuka untuk reka bentuk IC, justeru mengukuhkan peranan Malaysia dalam ekosistem IC.

Selain itu, ia bertujuan memupuk persekitaran yang dinamik dan kondusif dengan prasarana yang teguh, mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi serta menarik pelaburan langsung asing.

Penang Silicon Design @5km+ terdiri daripada tiga komponen utama, iaitu Taman Reka Bentuk IC dan Digital, Akademi Reka Bentuk Cip Pulau Pinang dan Pusat Penyelidikan dan Inkubasi Silikon.

Menurut InvestPenang, skim insentif telah diperkenalkan untuk menarik syarikat reka bentuk IC untuk membangun dan mengembangkan operasi mereka di Pulau Pinang, menawarkan subsidi sehingga RM2 juta setiap tahun selama tiga tahun kepada firma reka bentuk IC tempatan dan asing yang layak.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow sebelum ini berkata, inisiatif itu diunjurkan menarik pelaburan bernilai RM120 juta dalam tempoh lima tahun akan datang, dengan kerajaan negeri memperuntukkan RM60 juta untuk menyokong program itu.

Pada masa ini, 28 syarikat tempatan dan asing dalam sektor reka bentuk IC beroperasi di Pulau Pinang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.