Pesawat AirAsia Tawau-KL patah balik akibat masalah enjin

Pesawat AirAsia Tawau-KL patah balik akibat masalah enjin

Pesawat AirAsia bagi penerbangan AK 5741 membawa 170 penumpang dilaporkan selamat mendarat di Tawau pada 4.34 petang.

AirAsia plane
Juruterbang pesawat AirAsia bagi penerbangan AK 5741 meminta untuk kembali ke lapangan terbang disebabkan masalah enjin. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pesawat AirAsia penerbangan dari Tawau ke Kuala Lumpur berpatah balik selepas hampir sejam berlepas dari Lapangan Terbang Tawau.

Difahamkan, pesawat membawa 170 penumpang terpaksa berpatah balik disebabkan mengalami masalah enjin.

Pengurus Lapangan Terbang Tawau, Rehan Shafiq Azizan, berkata maklumat diterima daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia Kawalan Trafik Udara (CAAM ATC) mengenai kejadian itu pada 3.03 petang tadi.

“Juruterbang pesawat AirAsia bagi penerbangan AK 5741 TWU-KUL meminta untuk kembali ke lapangan terbang (RTB) disebabkan masalah enjin.

“Susulan itu, Perkhidmatan Penyelamat dan Bomba Pesawat (AFRS) telah mengaktifkan agensi berkaitan dan kenderaan bersedia di kedudukan masing-masing.

“Syarikat pernerbangan berkenaan juga sudah dimaklumkan dan tempat parkir pesawat bay 5 telah disediakan,” katanya menurut Sinar Harian.

Rehan berkata, pesawat itu mendarat dengan selamat pada 4.34 petang di landasan RYW 24 dan diletakkan di tempat parkir disediakan.

“Semua penumpang dalam keadaan baik, tiada kecederaan dilaporkan berlaku dan kejadian ini tidak menjejaskan operasi lapangan terbang lain” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.