
Beliau berkata, antara contoh syarikat tempatan yang boleh dijadikan panduan susulan memanfaatkan pelaburan dalam sektor teknologi ialah CG Global Profastex Manufacturing Sdn Bhd (CG Global) yang terletak di Zon Perindustrian Prai, Pulau Pinang, kerana berjaya menembusi pasaran global.
“Saya titipkan ucapan tahniah dan semangat kepada seluruh warga CG Global (yang mana 80% tenaga kerja adalah wanita) atas kejayaan menembusi pasaran global, dan merupakan antara lain hasil daripada program-program dukungan dan insentif daripada kerajaan,” katanya menerusi hantaran di X.
Beliau hari ini berpeluang mengadakan lawatan ke CG Global, sebuah perusahaan kecil dan sederhana milik wanita Bumiputera yang merupakan pengeluar utama dalam penyediaan spektrum perkhidmatan CEM (Contract Electronics Manufacturing).
Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz berkata kementeriannya sentiasa memberi tumpuan untuk memastikan usahawan wanita memiliki ruang dan peluang yang sama dalam mengembangkan perniagaan seperti yang diterajui oleh usahawan lelaki.
“Sebagai peneraju tonggak ekonomi bawah Kepengerusian Asean 2025, Miti akan terus mengetengahkan inisiatif proaktif yang mengutamakan kesaksamaan jantina dalam keusahawanan selaras dengan tema Asean 2025 iaitu “Keterangkuman dan Kemampanan,” katanya menerusi hantaran di X.
Beliau yang turut serta dalam lawatan tersebut berkata CG Global merupakan syarikat perusahaan kecil dan sederhana wanita Bumiputera yang telah beroperasi sejak 2016.
“Semasa mula ditubuhkan, mereka hanya menyediakan perkhidmatan untuk syarikat multinasional sekitar Pulau Pinang dan Ipoh, Perak.
“Tapi kini perniagaan mereka hampir 100% berasaskan eksport, dengan pelanggan daripada pelbagai negara seperti Amerika Syarikat, Australia, Perancis, UK dan China,” katanya.
Jelasnya, pekerja CG Global merupakan 100% Bumiputera dan hampir 80% ialah wanita yang mana 90% daripadanya lepasan diploma dan ijazah.
“Ini memang selaras dengan salah satu keutamaan keberhasilan ekonomi kita iaitu memastikan golongan usahawan wanita tidak dipinggirkan dalam Asean,” katanya.