
Beliau berkata, mereka berdepan masalah kewangan, perancangan, dan kepakaran.
Katanya, antara faktor lain mengakibatkan projek tergendala di negeri itu adalah masalah tanah tidak sesuai kerana berada dalam kawasan bencana banjir.
“Masalah paling besar ialah pelaksanaan dari segi kontraktor.
“Mereka mempunyai masalah dalam soal kewangan, perancangan dan kepakaran. Ada juga kekurangan bahan, kami dimaklumkan kadang-kadang ada masalah bekalan simen…juga masalah dalam soal kepakaran dari segi pekerja, jurutera, profesional, semi-profesional malah buruh,” katanya menurut Bernama pada sidang media di Kota Kinabalu.
Fadillah berkata, projek berdepan masalah melibatkan bekalan air luar bandar, kemudahan asas, jalan luar bandar, dan sekolah.
“Masalah yang kita kenal pasti bukan begitu besar dan boleh diselesaikan, tetapi ada juga masalah kontraktor tidak dapat diselamatkan (tiada kemampuan) menyebabkan projek itu tidak dapat disiapkan,” katanya.
Menurutnya, apabila projek itu tidak dapat disiapkan dan memerlukan lantikan kontraktor baharu, ia memerlukan tambahan kos menyebabkan peruntukan disediakan tidak cukup, manakala proses mendapatkan peruntukan baharu memerlukan masa lebih panjang.
“Terdapat 17 projek sakit dan lewat di Sabah, manakala 420 projek dalam prapelaksanaan.
“Tetapi, daripada 420 projek (prapelaksanaan) ada sudah bermula tetapi lambat kemas kini laporan, jadi dengan mesyuarat koordinasi, kita dapat kemas kini, terkini kita tahu ada projek ini mula di tapak, sudah keluar tender, dalam penilaian dan pelbagai lagi,” katanya.
Terdahulu, Fadillah mewakili kerajaan persekutuan menerusi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) menyerahkan enam projek siap melibatkan kos bernilai RM65.5 juta kepada Timbalan Ketua Menteri I Jeffrey Kitingan mewakili Ketua Menteri Hajiji Noor untuk kerajaan Sabah.