Kerjasama dengan industri, teroka disiplin teknologi baharu, PM beritahu universiti

Kerjasama dengan industri, teroka disiplin teknologi baharu, PM beritahu universiti

Perdana menteri berkata ia bagi memenuhi keperluan mendesak negara yang memerlukan jurutera berkelayakan yang mencukupi dalam industri berteknologi tinggi.

anwar ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata cara terbaik untuk mendidik, melatih, serta meningkatkan dan memperbaharu kemahiran adalah dengan kerjasama antara industri dengan institusi pendidikan. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggesa universiti awam khususnya di wilayah utara untuk memberi ruang yang secukupnya kepada pihak industri agar dapat bekerjasama dalam meneroka disiplin ilmu baharu melibatkan industri berteknologi tinggi.

Anwar berkata sinergi antara universiti dengan pihak industri dan swasta adalah penting khususnya dalam membangunkan industri semikonduktor serta ekosistem yang berkaitan, selaras dengan kedudukan Pulau Pinang sebagai hab semikonduktor di rantau ini.

Beliau berkata ia juga bagi memenuhi keperluan mendesak negara yang memerlukan jurutera berkelayakan yang mencukupi dalam industri berteknologi tinggi termasuk industri reka bentuk litar bersepadu (IC).

“Universiti harus memberi ruang sewajarnya kepada industri untuk terlibat dengan lebih agresif. Kita buat penyesuaian dari semasa ke semasa, tetapi cara terbaik untuk mendidik, melatih, serta meningkatkan dan memperbaharui kemahiran adalah dengan memastikan sinergi, kerjasama antara industri dengan institusi pendidikan.

“Penting bagi misi pendidikan memastikan hal ini berlaku dengan pantas dan bersedia untuk membuat penyesuaian,” katanya pada Majlis Perasmian Penang Silicon Design @5km+ di Bayan Lepas.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata kestabilan politik serta dasar negara yang jelas tidak menjadi kesukaran untuk menarik pelabur, namun isu ekosistem masih menjadi cabaran untuk pelabur datang melabur ke negara ini.

“Pastikan infrastruktur asas itu dijalankan dalam kadar yang segera. Apakah latihannya? Sama ada universiti dapat menumpukan dalam disiplin-disiplin baharu dengan kadar yang cepat.

“Jadi, hal ini ialah peringatan kepada USM (Universiti Sains Malaysia), UUM (Universiti Utara Malaysia) dan pusat berkaitan di Pulau Pinang, universiti di Perak dan Kedah, yang boleh dimanfaatkan untuk memastikan disiplin baharu ini dapat diluluskan dengan cepat,” kata beliau.

Beliau juga menyatakan rasa kagum dengan kemampuan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang berjaya meluluskan penubuhan Fakulti AI (kecerdasan buatan) dan memulakan program itu dalam tempoh empat bulan, yang menurut Anwar, satu rekod luar biasa di negara ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.