
PL ini sekiranya diluluskan akan memberikan kartel tersebut hak untuk melombong di tapak-tapak yang keseluruhannya seluas hampir satu juta ekar atau kira-kira 5% Sabah. Kartel ini dikatakan terdiri daripada seorang ahli perniagaan dan bekas-bekas pengarah di beberapa agensi negeri.
Kewujudan kartel ini pertama kali disorot pada September oleh Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM), susulan siasatan dalaman oleh syarikat berkaitan kerajaan negeri itu.
Sumber yang rapat dengan perkara itu, yang enggan dikenali, berkata kelompok pertama PL ini, terdiri daripada lima lesen, telah diluluskan oleh lembaga pengarah SMM dengan bantuan seorang orang tengah.
Katanya, lesen ini untuk tapak-tapak yang keseluruhannya seluas 130,000 ekar.
Menurutnya lagi, PL ini disyorkan kepada lembaga pengarah SMM untuk kelulusan tanpa sebarang usaha wajar dijalankan ke atas syarikat pemohon.
“…dan pada setiap mesyuarat lembaga pengarah (SMM) lebih banyak permohonan akan dikemukakan oleh syarikat-syarikat yang dikawal oleh ahli perniagaan itu untuk mendapatkan hak melombong di kawasan berbeza,” katanya.
FMT merahsiakan nama ahli perniagaan tersebut buat masa ini.
Sumber itu juga mendedahkan bahawa orang tengah yang dikaitkan dengan ahli perniagaan itu akan mendesak permohonan-permohonan itu diluluskan oleh lembaga pengarah SMM secara ‘pukal’, dan bukannya membincangkan merit setiap satu permohonan.
Menurut sumber itu, SMM mempunyai rakaman audio dan minit mesyuarat untuk menyokong dakwaannya, dan menambah kelakuan orang tengah itu telah menarik perhatian ahli lembaga pengarah syarikat.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sedang menyiasat dakwaan rasuah melibatkan seorang ahli perniagaan dan beberapa Adun Sabah yang dikaitkan dengan skandal ini.
Pada Rabu, Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah berkata video yang dikaitkan dengan kontroversi itu jelas menunjukkan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor mengambil keputusan membatalkan lesen tersebut kerana wujudnya pengaruh kartel.